Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

30 Nov 2023

Kelahiran Cahaya Mata : Tahniah En. Afiq

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sukacita dimaklumkan bahawa isteri kepada En. Mohd Afiq Aizzuddin bin Wahab, Pembantu Perangkaan E22 (TBK1), telah selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada jam 12.53 am, 30 November 2023.

Bayi seberat 2.5 kg tersebut telah selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan dinamakan Rayna Nelissa bt Mohd Afiq Aizzuddin.



Tahniah kepada En. Afiq dan isteri sempena kelahiran cahaya mata ketiga mereka itu.

Kami warga POG mendoakan semoga kehidupan mereka sekeluarga dirahmati, diberkati, dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik serta semoga putera-puteri mereka bakal menjadi anak yang soleh dan solehah... aamiinn. Insya Allah.
Baca selanjutnya...

28 Nov 2023

Majlis Perpisahan En. Frankie, Mantan Ketua Pejabat Operasi Gombak

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 28 November 2023 (Selasa), Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk En. Frankie anak Albert Antau, mantan Ketua Pejabat Operasi Gombak yang akan bertukar ke Pejabat Operasi Tawau, DOSM Sabah berkuatkuasa mulai 1 Disember 2023.

Sebagai kejutan, majlis turut dihadiri oleh 3 orang jemputan khas iaitu mantan Penolong Pegawai Perangkaan yang telah menjadi tulang belakang sepanjang 10 tahun 7 bulan En. Frankie mengetuai POG iaitu Puan Norazlinda bt Ramli, Cik Siti Norasyikin bt Mohd Ghani dan Puan Norashikin bt Nasokha.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Rashid, diikuti ucapan oleh wakil-wakil anggota POG yang berkongsi kenangan dan merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang En. Frankie memimpin POG. Antara wakil yang menyampaikan ucapan ialah :

1. Cik Nor Hazimah (Penolong Pegawai Perangkaan / Pengerusi KPOG)
2. En. Ali (wakil Penyelia)
3. Pn. Nik Zafifah (wakil Unit Kawalan)
4. Pn. 'Ainun Sa'adah (wakil Unit Pentadbiran)
5. En. Amirul (wakil PMS)
6. Pn. Norashikin (wakil mantan Penolong Pegawai Perangkaan)

Seterusnya En. Frankie dalam ucapannya telah menyampaikan amanat serta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota POG yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau memimpin POG. Pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. 



Pengerusi Majlis & Pembaca Doa

ucapan wakil-wakil anggota POG

pegawai yang diraikan

penyampaian cenderahati

insan-insan hebat yang menjadi tulang belakang En. Frankie
dalam menjadikan POG hebat lagi awesome




Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala keterlanjuran serta merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau curahkan. 

Kami turut mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan, kesejahteraan, dipermudahkan segala urusan, berjaya mengejar segala impian di masa akan datang serta terus maju jaya dengan lebih cemerlang dalam menjalankan tugas memimpin Pejabat Operasi Tawau nanti.

Kredit video : Muhammad Hazwan

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi... 
 
Baca selanjutnya...

2 Nov 2023

Selamat Datang Puan Jay, Ketua baharu POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 1 November 2023, Puan Jay Purani a/p Arumugam, Perangkawan Gred E44 telah melapor diri di Pejabat Operasi Gombak selaku Ketua Pejabat Operasi yang baharu, menggantikan En. Frankie anak Albert Antau yang akan bertukar ke Pejabat Operasi Tawau, Sabah.


Telah berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia sejak tahun 2008, Puan Jay yang berasal dari Taiping, Perak sebelum ini ditempatkan bertugas di DOSM Perak.

Seluruh warga POG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Puan Jay ke dalam keluarga POG. Semoga beliau cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi untuk memimpin POG sepanjang bertugas di sini.
Baca selanjutnya...

28 Oct 2023

Northern Stats Run 2023- Larian Merentas 3 Negeri

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

28 Oktober 2023 (Sabtu) : Northern Stats Run anjuran DOSM Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang . Uniknya acara larian ini merentasi 3 negeri yang bersempadan iaitu Nibong Tebal (Pulau Pinang), Parit Buntar (Perak) dan juga Bandar Baharu (Kedah).

DOSM Selangor turut menghantar penyertaan bagi memeriahkan program tersebut seramai 4 orang peserta veteran sahaja (kesemuanya dari P.O Gombak). Kali ini hanya kontinjen kecil dihantar memandangkan DOSM Selangor baru sahaja selesai bertungkus lumus menganjurkan sambutan Hari Statistik Negara di Sabak Bernam.




DOSM Zon Tengah & Putrajaya

bersama Timbalan Ketua Perangkawan & Pengarah-Pengarah Bahagian & Negeri

bersama ex-POG

bersama bakal bos baharu

Tahniah kepada para peserta DOSM Selangor yang telah menamatkan larian dengan jayanya dalam acara 10 km.
 

Baca selanjutnya...

23 Oct 2023

Sambutan 'Yuk Mampir' Hari Statistik Negara (HSN) 2023 di Sabak Bernam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

20-22 Oktober 2023 (Jumaat-Ahad): Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Majlis Daerah Sabak Bernam telah menganjurkan sambutan 'Yuk Mampir' Hari Statistik Negara (HSN) 2023 berpusat di Pentas Utama perkarangan Stadium Sungai Besar dan beberapa lokasi lain di sekitar daerah Sabak Bernam. 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan bersama penduduk setempat dan agensi di sekitar daerah Sabak Bernam bertujuan mendekati dan meningkatkan kefahaman statistik di kalangan masyarakat tentang kepentingan statistik dalam mengukur kemajuan dan membantu penggubalan dasar. 

HSN tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di mana dianggarkan kira-kira 14000 pengunjung dari sekitar daerah Sabak Bernam telah hadir memeriahkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.


Antara aktiviti yang dijalankan adalah :

Majlis Bacaan Yaasin dan doa selamat di Masjid Jamek Makmuriah, Sungai Besar

Larian Amal HSN 20.10km dari Kampung Sungai Haji Dorani 
hingga ke Stadium Sungai Besar

Majlis Perasmian oleh Ybhg. Dato' Nor Azmie bin Diron, 
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi 
yang mewakili YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi

Debat Statistik Antara IPT Peringkat Akhir di 
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam

Sesi Wawancara Statistik Bersama YDP Sabak Bernam, Tuan  Azman Dahlan 
di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam

Perlawanan Bolasepak Persahabatan antara DOSM Selangor FC vs Pilihan Sabak Bernam,
berkesudahan pasukan DOSM Selangor berbesar hati memberi kemenangan 
kepada pasukan tuan rumah dengan keputusan 1-3

pemain-pemain dari POG

Persembahan Pentarama

Larian D'Bendang 5km dan Permainan Sukan Rakyat di sawah 
di Parit 2, Sungai Haji Dorani

Pertandingan Bolasepak Bawah Umur 10, 12 & 15 tahun Piala Ketua Perangkawan Malaysia

Jualan Ehsan Rahmah

Pertandingan Karaoke Suara Emas HSN

Sesi Literasi Statistik di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam

Pentas Kebudayaan Setempat

Rewang dan Kenduri Tahlil & Doa Selamat di Masjid Jamek Mahmudiah, 
Kampung Baharu, Sabak Bernam

FitDOSM & Pertandingan Aerobicthon

Lawatan ke Ladang Tanaman Rock Melon 'Melo Sel' dan Ladang Mulberi 
di Parit 6 Gambut, Sungai Besar

Himpunan Motor Klasik, Motorshow & Stuntshow oleh Gaban Salleh

Selain itu, aktiviti menarik yang dijalankan secara berterusan sepanjang 3 hari sambutan HSN ini adalah gerai pameran oleh pihak DOSM dan agensi-agensi kerajaan, gerai jualan makanan dan produk IKS, kuiz statistik, cabutan bertuah, petting zoo, permainan soopa doopa dan kereta kanak-kanak.

Akhir sekali, warga POG diberi tanggungjawab untuk mengendalikan persiapan dan perjalanan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh Ybhg. Dato' Seri Ketua Perangkawan Malaysia.


klik gambar untuk paparan lebih besar

Sekalung penghargaan dan jutaan tahniah kepada semua AJK yang begitu komited dalam menjayakan acara sambutan ini sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semoga semangat kerjasama yang padu ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Statistik Nadi Kehidupan'

Baca selanjutnya...

13 Oct 2023

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 Dan Jasamu Dikenang Zon Tengah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

13 Oktober 2023 (Jumaat) : Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 & Jasamu Dikenang 2023 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Zon Tengah telah selesai diadakan bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Majlis gilang gemilang ini dirasmikan oleh Dato' Sri Dr. Mohd Uzir bin Mahidin; Ketua Perangkawan Malaysia. Turut hadir ialah Puan Hartini binti Yaacob; Pengarah DOSM Selangor dan Puan Siti Zakiah binti Muhamad Isa; Pengarah DOSM Wilayah Persekutuan.


Pada majlis ini, seramai 28 orang pegawai tetap dan 46 pegawai Personal My-Step (PMS) DOSM Zon Tengah menerima pengiktirafan atas kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Turut diraikan pada majlis ini ialah 2 orang pesara DOSM. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada para pesara DOSM atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan demi melaksanakan visi dan misi DOSM. Selamat maju jaya dan semoga berjumpa lagi di lain masa dan ketika.

Seluruh warga P.O Gombak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kesemua penerima  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022, khususnya kepada anggota P.O Gombak yang terpilih menerima anugerah tersebut iaitu Puan Azureen bt Mohd Sirojuddin, En. Mohamad Zulrusdi bin Mohd Zain, En. Muhammad Aiman bin Mohd Arshad dan wakil PMS iaitu En. Muhammad Hazwan bin Mohd Yusof.





Semoga kecemerlangan prestasi mereka terus dikekalkan dan menjadi contoh teladan kepada warga POG yang lain untuk berkhidmat lebih cemerlang seterusnya menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan jabatan.


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.