Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

24 May 2017

Majlis Tazkirah Ramadhan - Ustaz Awang Mamat

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

23 Mei 2017 (Selasa) - Kelab Pejabat Operasi Gombak telah mengadakan Majlis Ceramah Agama sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Ceramah tersebut disampaikan oleh Y.Bhg. Ustaz Awang bin Mamat.

Majlis dipengerusikan oleh En. Mohd Fadzly bin Mohd Noor, diikuti bacaan doa oleh En. Abdul Rahim bin Shaharuddin.






Berikut adalah intipati ceramah untuk kita renung dan amalkan bersama sepanjang bulan Ramadhan ini :

~ Generasi kini tidak lagi cintakan al-Quran. Maka bermulanya Ramadhan ini sama-samalah kita berubah mendekatkan diri dengan al-Quran. Buat tadarus sekurang-kurangnya 1 mukasurat sehari.

~ Sentiasa bermuhasabah diri untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, bukan hanya dalam bulan Ramadhan sahaja malah juga selepasnya.

~ Menghayati bahawa ibadah puasa itu kerana Allah, jangan cuma berlapar dahaga kerana semata-mata diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Maka kena tunaikan juga ibadah lain yang wajib seperti mendirikan solat 5 waktu dan menutup aurat serta banyak bersedekah dan sebagainya.

~ Jangan tinggalkan bangun bersahur walaupun dengan hanya minum seteguk air dan sebiji tamar. Sebaik-baiknya dilakukan di akhir malam ketika sudah hampir waktu subuh serta diiringi dengan banyak berdoa, beristighfar dan solat malam.

~ Mengerjakan solat berjemaah, jika tak sempat ke surau/masjid sekurang-kurangnya dikerjakan di rumah bersama keluarga.

~ Solat isyak berjemaah di surau/masjid diikuti dengan solat terawih, solat witir dan bertadarus. 

~ Sentiasa produktif di tempat kerja dan tidak bermalas-malasan kerana sikap bermalas-malasan itu akan menyebabkan bulan Ramadhan itu menjadi fitnah kepada orang Islam, seolah-olah dengan berpuasa menjadikan umat Islam malas, lemah dan tidak produktif.

~ Jangan membazir ketika berbuka, kawal nafsu makan dan nafsu mata ketika membeli makanan di bazar Ramadhan.

~ Berbuka bersama keluarga dan jangan makan terlalu banyak. Banyakkan berdoa sebelum berbuka kerana waktu sebelum berbuka adalah antara waktu mustajab untuk berdoa. Sebaiknya bergilir-gilirlah berdoa antara suami, isteri dan anak-anak menyatakan hasrat masing-masing dalam bahasa yang mudah difahami.

Selesai ceramah, En. Arifin Amin mewakili POG 
menyampaikan sumbangan cenderahati kepada Ustaz Awang.

Baca selanjutnya...

20 May 2017

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

19 Mei 2017 (Jumaat) - Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor telah mengadakan Majlis Perjumpaan Pengarah bersama Warga DOSM Selangor bertempat di Auditorium Pusat Latihan Pengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 Shah Alam.



Aturcara majlis:
~ Ucapan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor; En.Muhammad Amri bin Idris, diikuti sesi dialog antara Pengurusan Kanan Jabatan bersama anggota DOSM Selangor.

~ Pembentangan Aktiviti Kelab Sukan, Kebajikan dan Sosial (KSKS) DOSM Selangor bagi tahun 2017-2018.

~ Pelancaran #FitDosm Selangor.

~ Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2016 di mana seramai 15 orang anggota JP Selangor telah dipilih menerima anugerah tersebut termasuk seorang anggota dari P.O. Gombak.



Di kesempatan ini seluruh warga P.O Gombak merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2016 bagi DOSM Selangor, khususnya kepada satu-satunya anggota P.O Gombak yang layak menerima anugerah tersebut iaitu Puan Hazwani bt Abdullah.

 

Semoga kejayaan dan kecemerlangan yang ditunjukkan dapat menjadi contoh teladan dan menggalakkan warga POG yang lain agar meningkatkan produktiviti, berintegriti dan lebih beriltizam agar mencapai kualiti yang tinggi seterusnya menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan jabatan.



Baca selanjutnya...

12 May 2017

Kenaikan Pangkat: Tahniah En. Ali

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seluruh warga P.O Gombak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada En. Ali bin Ahmad atas kenaikan pangkat sebagai Pembantu Perangkaan Kanan Gred E22 berkuatkuasa 10 Mei 2017. 

Beliau ditempatkan di Pejabat Operasi Gombak, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh En. Ahmad Rahimi bin Abdullah yang telah bersara pilihan.

Semoga dengan kenaikan pangkat ini akan menjadi pencetus semangat kepada beliau untuk berkhidmat lebih cemerlang dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan di masa akan datang.
Baca selanjutnya...

14 Apr 2017

Fit DOSM POG @ Tasik Taman Bersatu, Rawang

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Warga POG telah menganjurkan program Fit DOSM bertempat di Tasik Rekreasi Taman Bersatu, Rawang demi menyahut seruan program Fit DOSM oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertujuan untuk memastikan anggota Jabatan  sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan cerdas.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah:

 senaman regangan

 kelihatan anggota paling veteran di belakang turut bersemangat menyertai program

 senaman lompat bintang

 melompat ke bintang lagi

 peserta berjalan 10,000 langkah (dipantau oleh En.Frankie 
dari belakang bagi memastikan tiada yang mengelat) hihi

antara anggota paling cergas sedang berjogging

 anggota yang paling bersemangat dan paling awal sampai... memang fit sungguh beliau ni...

 tarian poco-poco diketuai oleh ratu poco-poco POG

 walaupun tarian poco-poco mereka nampak sumbang tapi itu lebih baik dari tak buat apa-apa

masing-masing menunjukkan gaya paling fit (kononnya)

Semoga aktiviti ini dapat diadakan lebih kerap lagi agar warga POG terus sihat, cergas dan cerdas seterusnya meningkatkan lagi semangat bekerja dan produktiviti masing-masing.


Baca selanjutnya...

Pot Luck @ POG; Bil 01/2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Warga POG telah mengadakan majlis jamuan sarapan pagi secara potluck bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama anggota. Antara juadah lazat yang dibawa oleh warga POG adalah nasi lemak, spagheti goreng, bihun goreng, ayam goreng, roti jala, lempeng, kuih muih dan buah-buahan.


Ketua POG, En. Frankie berharap agar majlis seperti ini lebih kerap diadakan bagi merapatkan hubungan sesama warga POG.
Baca selanjutnya...

10 Apr 2017

Kelahiran Cahaya Mata : Tahniah Puan Emily

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sukacita dimaklumkan bahawa Puan Emily Singa, Pembantu Perangkaan E19, Pejabat Operasi Gombak telah selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada jam 3.14 petang, Ahad, 9 April 2017.

Bayi seberat 3.18 kg tersebut telah selamat dilahirkan di Hospital Selayang dan dinamakan Abner Noel anak Lawrence.


Tahniah kepada Puan Emily dan suami beliau sempena kelahiran cahaya mata kedua mereka itu. Seluruh warga POG mengharapkan semoga keluarga mereka dikurniakan kebahagiaan dan kesihatan yang baik, serta anak-anak mereka bakal menjadi anak yang berbakti kepada kedua orang tuanya, bangsa dan negara.
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.