Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

10 Jun 2013

Kejohanan Bowling Tertutup POG 2013

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 8 Jun 2013, K-POG telah menganjurkan Kejohanan Bowling Tertutup bertempat di Speed Bowl, Rawang khusus untuk anggota POG dan kaum kerabatnya. Seramai 36 peserta telah mengambil bahagian, di mana 24 peserta kategori lelaki dan selebihnya wanita.

Biarpun ada anggota dari JP Selangor di Shah Alam yang cuba merisik kalau-kalau boleh menyertai kejohanan ini, K-POG memang sengaja menganjurkan kejohanan bowling ini secara tertutup bagi memastikan hanya kaum kerabat POG sahaja yang membawa pulang hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan... hehe, lumayanlah sangat!

Keputusan (berdasarkan jatuhan pin tertinggi dari 2 permainan) :

Kategori Lelaki:

1. Amar (S) - 332
2. Darwis (S) - 324
3. Fadzly - 303
4. Bazri - 298
5. Rais (S) - 287



Kategori Wanita:

1. Rose (pasangan Rais) - 264
2. Pn. Fatimah (isteri En. Arifin) - 255
3. Elena (anak En. Arifin) - 227
4. Pn. Salina (isteri En. Rahimi) - 222
5. Pn. Masnita (isteri Bazri) - 218


Saksikan gambar-gambar kemeriahan kejohanan tersebut.







Penganjuran kejohanan bowling ini boleh dikatakan berjaya mencapai matlamatnya, iaitu mengeratkan silaturrahim sesama anggota POG sambil bersukan. Bukan itu sahaja, dapat juga lebih saling mengenali ahli keluarga masing-masing. 

Terima kasih kepada semua yang menjayakan acara ini. Jumpa lagi tahun depan.... Insya Allah.


Baca selanjutnya...

7 Jun 2013

Ceramah Keselamatan dan Latihan Kebakaran

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Tarikh      :  6 Jun 2013
Masa        :  9.30 pagi
Tempat    :  Aras 2, Pejabat Operasi Gombak

Pejabat Operasi Gombak Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Rawang telah menganjurkan Ceramah Keselamatan dan Latihan Kebakaran yang bertujuan untuk mendedahkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa berlakunya kebakaran. 

Ceramah tersebut disampaikan oleh En. Yusri bin Saharjo, Pegawai Penyiasat Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, disertai oleh beberapa anggota bomba lain.

Turut hadir adalah Pengarah JP Selangor, Tuan Hj. Ibrahim bin Jantan serta beberapa wakil dari Ibu Pejabat JP Selangor Shah Alam, Pejabat Operasi Kajang dan JP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selesai ceramah, diadakan pula demontrasi dan latihan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api di lorong belakang pejabat. Ramai anggota yang mengambil kesempatan untuk mencuba pakaian keselamatan yang biasa dipakai anggota bomba sewaktu memadam kebakaran.


para tetamu
cenderahati 








Semoga dengan adanya latihan dan ceramah ini akan dapat menambahkan ilmu dan kesedaran bagi mempertingkatkan penjagaan keselamatan di pejabat, rumah, kenderaan atau di mana-mana sahaja.

Maklumat lanjut berkenaan Tip Keselamatan Kebakaran, sila rujuk Portal Rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di SINI.


Dalam pada itu, seorang anggota JP Selangor di Unit Prosesan, Puan Nurul Fatinah bt Mohamad Rais baru sahaja ditimpa bencana kebakaran rumah. Rumah sewa yang didiami beliau sekeluarga yang terletak di Jalan Berangan, Padang Jawa, Kelang telah musnah dan hangus dijilat api tanpa dapat menyelamatkan sebarang harta benda. Suami beliau pula mengalami kecederaan melecur di kedua-dua belah tangan. Syukur, anak-anak beliau selamat kerana berada di rumah pengasuh semasa kejadian. Walaubagaimanapun keadaan beliau sekeluarga bolehlah dianggap tinggal “sehelai sepinggang”.

POG merakamkan simpati kepada beliau sekeluarga, semoga mereka bersabar dengan ujian ini dan sama-samalah kita menyumbang agar sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan mengurangkan kesukaran yang beliau alami sekarang.

Berita lanjut di SINI
             
Baca selanjutnya...

1 Jun 2013

Ceramah: Kesihatan Holistik dari sudut pemakanan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

31 Mei 2013 (Jumaat) -

Satu ceramah berkaitan kesihatan telah diadakan di P.O Gombak, disampaikan oleh seorang penceramah dari sebuah pertubuhan swasta iaitu Pusat Kesihatan Kumpulan Bersatu Bumi Perak. 

Ceramah ini bertujuan untuk membekalkan info kesihatan untuk membantu kita menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan berkesan, terutama mengenai kepentingan menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian kita. 

Banyak info menarik disampaikan, termasuk pemeriksaan kesihatan semua anggota POG dengan hanya memeriksa bahagian tangan masing-masing. Tak sangka dengan hanya memeriksa keadaan kulit, jari dan tapak tangan, banyak tanda-tanda penyakit dapat dikesan.

Di akhir ceramah, pertubuhan ini turut memperkenalkan periuk kesihatan dan menunjukkan demonstrasi memasak menggunakan periuk tersebut. 








Baca selanjutnya...

14 May 2013

Perlawanan Persahabatan Zon Tengah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Pada 11 Mei 2013, satu perlawanan persahabatan Zon Tengah telah diadakan di Stadium Pancarona, Presint 18, Putrajaya. Program ini adalah medan untuk pemilihan pemain bagi mewakili Zon Tengah di Sukan Antara Zon 2013 yang akan diadakan di UUM Sintok, Kedah pada 27-30 Jun 2013 nanti.

Semua anggota yang berminat dijemput menghadiri sesi pemilihan ini, meliputi anggota-anggota dari JP Selangor, Wilayah Persekutuan K.Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pejabat Operasi Putrajaya. 
Para peserta dikehendaki berkumpul seawal jam 8.30 pagi di perkarangan Stadium Pancarona.

Acara-acara yang dipertandingkan adalah Futsal Lelaki dan Wanita, Futsal Lelaki Veteran, Bola Tampar Lelaki dan Wanita, Bola Jaring, Sepak Takraw Lelaki, Badminton Berpasukan dan Ping Pong Berpasukan.

Petangnya, diadakan pula sesi pemilihan bagi acara bowling bertempat di Ole-Ole Superbowl, Plaza Ole-Ole, Seksyen 18, Shah Alam.

menunggu pihak lawan....
gaya macam servis maut ni... gaya je laa

sepaktakraw

bolatampar

penyokong

futsal
badminton

wakil POG
POG telah menghantar 6 orang wakil yang dirasakan paling berkaliber dan boleh pergi jauh dalam acara yang disertai. Akhirnya 3 orang telah terpilih untuk mewakili pasukan Zon Tengah iaitu Sdra. Shahrul (acara Futsal lelaki), Sdra. Rozan (bolatampar) dan Sdra. Bazri yang baru sahaja cukup syarat melepasi umur veteran untuk dipilih mewakili pasukan Futsal veteran. Tahniah buat ketiga-tiga mereka. 

Tiga lagi wakil iaitu Sdra. Azeman, Ali dan Rohaizad didapati hanya datang ke sesi pemilihan ini untuk seronok-seronok dan memeriahkan acara sahaja, maka mereka tidak dipilih walaupun mereka dirasakan cukup berkaliber... (berkaliber lah sangat)   

Akhir kata, POG mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang terpilih agar dapat mengharumkan nama Zon Tengah pada Sukan Antara Zon nanti. Adalah diharapkan agar program ini juga dapat dijadikan medan bagi warga JP Selangor, JP WPKL, Labuan dan P.O Putrajaya untuk beramah mesra serta mengeratkan lagi jalinan silaturrahim.



Baca selanjutnya...

1 May 2013

Selamat Datang En. Frankie

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.  

Patah tumbuh, hilang berganti. Mulai 29 April 2013 POG akan diterajui oleh ketua baru iaitu En. Frankie anak Albert Antau. Beliau berasal dari Kuching, Sarawak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Perniagaan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).


Sebelum ini beliau bertugas di Seksyen Rangka dan Pemetaan, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor, mulai 1 April 2008 hingga 26 April 2013.


Semoga di bawah kepimpinan beliau, anggota POG akan mengekalkan semangat bekerja dalam satu pasukan seterusnya mengekalkan kecemerlangan POG.





Baca selanjutnya...

26 Apr 2013

Majlis Perpisahan En. Rosli

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada hari Jumaat, 26 April 2013, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Ketua Pejabat Operasi Gombak, En. Mohd. Rosli bin Mahmood yang akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di Glenmarie, Shah Alam, mulai 29 April 2013.




Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Mohd Afiq Aizzuddin, diikuti ucapan wakil anggota POG oleh Puan Norazlinda bt. Ramli yang merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang En. Rosli bertugas di POG.

Seterusnya En. Rosli dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau berada di POG. Setelah lebih 4 tahun mencurah bakti memimpin kami, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau.
ucapan

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau berikan dan mendoakan beliau akan terus maju jaya serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.


para hadirin...
untuk makluman Pengarah JP Selangor  tak dapat hadir ke majlis ini
kerana ada urusan lain, hanya sempat menghadiri mesyuarat pagi di POG...

Majlis diakhiri dengan acara persembahan multimedia, penyampaian cenderahati, memotong kek, sesi bergambar dan sudah tentulah acara kemuncaknya adalah makan-makan.

macam-macam perasaan ... suka... terharu... sayu... pilu...

buat En. Rosli, kalau rindukan kami , rajin-rajinlah jenguk blog ni...

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi


EMAIL SALAM PERPISAHAN

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Yang dihormati, YBhg. Tuan Haji Ibrahim Bin Jantan (Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor), Puan Norhashimah Bt. Haron (Timbalan Pengarah), Tuan Haji Abd Aziz Bin Abdullah (Ketua Penolong Pengarah), Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Untuk makluman semua, saya Mohd Rosli Bin Mahmood, Perangkawan E41 yang bertugas Pejabat Operasi Gombak, akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor mulai 29 April 2013 dan hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Tuan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor atas segala bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Jabatan ini. 

Ampun dan maaf dipinta atas segala salah dan silap yang saya lakukan yang mungkin dan telah menyinggung perasaan tuan/puan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan kekurangan itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

Tidak lupa juga kepada seluruh Warga Pejabat Operasi Gombak yang banyak membantu saya, mendorong saya dan memberikan kerjasama yang sangat baik pada saya. Saya doakan kalian semua sentiasa berjaya dan sentiasa berlapang dada dalam meneruskan tugas harian. Kebaikan dan kejayaan P.O.Gombak adalah hasil usaha kalian semua. 

Akhir kata dari saya, semoga hubungan silaturrahim antara kita akan terus kekal walaupun di mana kita berada.

Sekian, Terima kasih.

Mohd Rosli Bin Mahmood




Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.