Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

14 May 2013

Perlawanan Persahabatan Zon Tengah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Pada 11 Mei 2013, satu perlawanan persahabatan Zon Tengah telah diadakan di Stadium Pancarona, Presint 18, Putrajaya. Program ini adalah medan untuk pemilihan pemain bagi mewakili Zon Tengah di Sukan Antara Zon 2013 yang akan diadakan di UUM Sintok, Kedah pada 27-30 Jun 2013 nanti.

Semua anggota yang berminat dijemput menghadiri sesi pemilihan ini, meliputi anggota-anggota dari JP Selangor, Wilayah Persekutuan K.Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pejabat Operasi Putrajaya. 
Para peserta dikehendaki berkumpul seawal jam 8.30 pagi di perkarangan Stadium Pancarona.

Acara-acara yang dipertandingkan adalah Futsal Lelaki dan Wanita, Futsal Lelaki Veteran, Bola Tampar Lelaki dan Wanita, Bola Jaring, Sepak Takraw Lelaki, Badminton Berpasukan dan Ping Pong Berpasukan.

Petangnya, diadakan pula sesi pemilihan bagi acara bowling bertempat di Ole-Ole Superbowl, Plaza Ole-Ole, Seksyen 18, Shah Alam.

menunggu pihak lawan....
gaya macam servis maut ni... gaya je laa

sepaktakraw

bolatampar

penyokong

futsal
badminton

wakil POG
POG telah menghantar 6 orang wakil yang dirasakan paling berkaliber dan boleh pergi jauh dalam acara yang disertai. Akhirnya 3 orang telah terpilih untuk mewakili pasukan Zon Tengah iaitu Sdra. Shahrul (acara Futsal lelaki), Sdra. Rozan (bolatampar) dan Sdra. Bazri yang baru sahaja cukup syarat melepasi umur veteran untuk dipilih mewakili pasukan Futsal veteran. Tahniah buat ketiga-tiga mereka. 

Tiga lagi wakil iaitu Sdra. Azeman, Ali dan Rohaizad didapati hanya datang ke sesi pemilihan ini untuk seronok-seronok dan memeriahkan acara sahaja, maka mereka tidak dipilih walaupun mereka dirasakan cukup berkaliber... (berkaliber lah sangat)   

Akhir kata, POG mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang terpilih agar dapat mengharumkan nama Zon Tengah pada Sukan Antara Zon nanti. Adalah diharapkan agar program ini juga dapat dijadikan medan bagi warga JP Selangor, JP WPKL, Labuan dan P.O Putrajaya untuk beramah mesra serta mengeratkan lagi jalinan silaturrahim.



Baca selanjutnya...

1 May 2013

Selamat Datang En. Frankie

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.  

Patah tumbuh, hilang berganti. Mulai 29 April 2013 POG akan diterajui oleh ketua baru iaitu En. Frankie anak Albert Antau. Beliau berasal dari Kuching, Sarawak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Perniagaan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).


Sebelum ini beliau bertugas di Seksyen Rangka dan Pemetaan, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor, mulai 1 April 2008 hingga 26 April 2013.


Semoga di bawah kepimpinan beliau, anggota POG akan mengekalkan semangat bekerja dalam satu pasukan seterusnya mengekalkan kecemerlangan POG.





Baca selanjutnya...

26 Apr 2013

Majlis Perpisahan En. Rosli

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada hari Jumaat, 26 April 2013, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Ketua Pejabat Operasi Gombak, En. Mohd. Rosli bin Mahmood yang akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di Glenmarie, Shah Alam, mulai 29 April 2013.




Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Mohd Afiq Aizzuddin, diikuti ucapan wakil anggota POG oleh Puan Norazlinda bt. Ramli yang merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang En. Rosli bertugas di POG.

Seterusnya En. Rosli dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau berada di POG. Setelah lebih 4 tahun mencurah bakti memimpin kami, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau.
ucapan

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau berikan dan mendoakan beliau akan terus maju jaya serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.


para hadirin...
untuk makluman Pengarah JP Selangor  tak dapat hadir ke majlis ini
kerana ada urusan lain, hanya sempat menghadiri mesyuarat pagi di POG...

Majlis diakhiri dengan acara persembahan multimedia, penyampaian cenderahati, memotong kek, sesi bergambar dan sudah tentulah acara kemuncaknya adalah makan-makan.

macam-macam perasaan ... suka... terharu... sayu... pilu...

buat En. Rosli, kalau rindukan kami , rajin-rajinlah jenguk blog ni...

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi


EMAIL SALAM PERPISAHAN

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Yang dihormati, YBhg. Tuan Haji Ibrahim Bin Jantan (Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor), Puan Norhashimah Bt. Haron (Timbalan Pengarah), Tuan Haji Abd Aziz Bin Abdullah (Ketua Penolong Pengarah), Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Untuk makluman semua, saya Mohd Rosli Bin Mahmood, Perangkawan E41 yang bertugas Pejabat Operasi Gombak, akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor mulai 29 April 2013 dan hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Tuan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor atas segala bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Jabatan ini. 

Ampun dan maaf dipinta atas segala salah dan silap yang saya lakukan yang mungkin dan telah menyinggung perasaan tuan/puan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan kekurangan itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

Tidak lupa juga kepada seluruh Warga Pejabat Operasi Gombak yang banyak membantu saya, mendorong saya dan memberikan kerjasama yang sangat baik pada saya. Saya doakan kalian semua sentiasa berjaya dan sentiasa berlapang dada dalam meneruskan tugas harian. Kebaikan dan kejayaan P.O.Gombak adalah hasil usaha kalian semua. 

Akhir kata dari saya, semoga hubungan silaturrahim antara kita akan terus kekal walaupun di mana kita berada.

Sekian, Terima kasih.

Mohd Rosli Bin Mahmood




Baca selanjutnya...

16 Apr 2013

Selamat Datang Yusnida Yusoff

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Satu kekosongan jawatan E17 di P.O Gombak yang ditinggalkan oleh En. Abd. Razak Yusoff yang telah bersara akhirnya kini terisi.

Mulai 15 April 2013, seorang anggota dari ibu pejabat JP Selangor di Shah Alam (Unit Prosesan) iaitu Puan Yusnida bt Yusoff mula melapor diri bertugas di P.O Gombak.

Beliau memohon bertukar ke P.O.G kerana kini menetap di Sungai Buaya, Rawang disebabkan suami beliau bertugas di Bukit Beruntung. Beliau juga baru kembali bertugas setelah bercuti selama 3 bulan kerana melahirkan anak sulung beliau. Kira rezeki anaklah tu dapat bertukar ke POG, tahniah diucapkan.

Seiring dengan penghijrahan ini, diharapkan beliau akan lebih bersemangat dalam setiap tugasan di tempat baru ini.



Dalam pada itu, beliau juga kini telah sah menjadi ahli baru K-POG, maka janganlah malu-malu apabila didatangi Bendahari kelab iaitu En. Azizol yang akan datang beramah-mesra dengan semua ahli setiap kali hari gaji...hehe.

Kami di P.O.G amat mengalu-alukan kedatangan beliau ke sini.

Baca selanjutnya...

6 Apr 2013

Seminar Pencegahan Kebakaran di POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ini anggota POG berpeluang mendengar ceramah tentang pencegahan kebakaran yang disampaikan oleh En.Jeffrey dari Pertubuhan Pencegah Kebakaran (FPS). Ceramah ini ditumpukan kepada kebakaran yang berlaku di rumah dan di dalam kenderaan.

anggota POG tekun mendengar ceramah...

Berikut adalah beberapa peringatan penting yang dipetik dari ceramah tersebut:

  • Kebiasaannya masyarakat kita tidak menyediakan alat pemadam api di rumah dan dalam kenderaan peribadi. Banyak kes kebakaran rumah dan kenderaan gagal diselamatkan kerana tiada alat pemadam api di dalam kereta atau dalam rumah.
  • Tindakan menggunakan air, kain basah, berguling atau menggunakan pasir bagi memadamkan kebakaran di peringkat awal biasanya boleh mendatangkan kemudaratan yang kekal. Tindakan yang paling selamat adalah menggunakan alat pemadam api jenis 'dry powder'.
  • Perkara paling penting semasa menggunakan alat pemadam api adalah melihat meter tekanan pada alat pemadam api tersebut. Jika tekanannya adalah kosong, tiada guna kita bersusah payah membawa alat pemadam api yang berat tersebut. Ini kerana alat pemadam api tersebut tidak berfungsi kerana tiada tekanan dalam tabungnya. Begitu juga jika tekanan alat pemadam api tersebut adalah terlalu tinggi, alat pemadam api tersebut tidak selamat untuk digunakan. Tiada guna ada alat pemadam api jika tidak diselenggara dengan betul.
  • Penting juga memasang alat pengesan asap di rumah sebagai langkah awal mengesan kebakaran. Alat pengesan asap tersebut mengeluarkan bunyi yang nyaring sehingga boleh menyebabkan orang tertidur terjaga. Diingatkan bahawa asap juga adalah pembunuh utama ketika berlaku kebakaran.
  • Pastikan supaya rumah tidak menjadi perangkap maut kepada ahli keluarga masing-masing. Alat keselamatan seperti jeriji besi yang dipasang pada rumah menyebabkan pencuri tidak lepas masuk tapi dalam masa yang sama penghuninya tidak lepas keluar jika berlaku kebakaran. Adalah penting untuk meletakkan kunci jeriji di tempat yang diketahui oleh semua ahli keluarga serta memberitahu tempat berkumpul jika berlaku kebakaran.

setelah mendapat kesedaran... kelihatan En. Rohaizad begitu berminat
untuk mencuba alat pemadam api...

Di akhir ceramah En. Jeffrey berkongsi kisah-kisah benar yang terjadi kepada mangsa kebakaran untuk dijadikan pengajaran. Turut disertakan borang tempahan untuk membeli alat pemadam api pada harga promosi. Pihak syarikat penaja Persatuan Pencegah Kebakaran akan menghubungi mereka yang berminat.
.
.
.




Baca selanjutnya...

5 Apr 2013

Majlis Solat Hajat, Bacaan Yaasin, Tahlil & Doa Selamat


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

5 April (Jumaat) -  Sejak kebelakangan ini, POG telah mengalami beberapa musibah seperti kecurian kabel, kebakaran fius sebanyak dua kali serta beberapa masalah sistem elektrikal yang masih belum selesai.

Hari ini POG telah mengadakan Majlis Solat hajat, bacaan surah Yaasin, tahlil dan doa selamat, sebagai salah satu ikhtiar memohon perlindungan dari Allah s.w.t agar POG dan seluruh warga kerjanya terhindar dari segala musibah dan keburukan.



Majlis tersebut dipimpin oleh En. Rosdi, Pengerusi Surau Al-Raudhah, Bukit Beruntung, Rawang, turut hadir Pengarah JP Selangor; Tn. Hj Ibrahim Jantan dan En. Mohd Fuad Hj. Ismail.
.
.
.


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.