Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

8 Jul 2026

Selamat Bersara Dato' Sri Ketua Perangkawan Malaysia

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, sempena persaraan wajib beliau yang berkuat kuasa pada 8 Julai 2026.


Terima kasih atas kepimpinan, jasa dan dedikasi yang telah dicurahkan sepanjang menerajui DOSM. Legasi yang ditinggalkan akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga DOSM.

Semoga YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin sentiasa berada dalam lindungan-Nya, dikurniakan kesihatan yang baik serta kesejahteraan yang berpanjangan dalam menempuh fasa kehidupan yang baharu.

Jasa dikenang, Legasi disanjung.

Ikhlas daripada, 
Pengarah dan Seluruh Warga DOSM Selangor.

Baca selanjutnya...

5 Jul 2026

Larian Maya 7.7KM sempena persaraan Ybhg Dato' Sri Dr Ketua Perangkawan Malaysia

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Warga DOSM Selangor tidak ketinggalan menyertai Cabaran Larian Maya 7.7KM sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia yang akan bersara pada 7 Julai 2026.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin atas khidmat bakti dan kepimpinan yang dicurahkan sepanjang menerajui DOSM.

Semoga YBhg. Dato’ Sri sentiasa dilimpahi rahmat, dikurniakan kesihatan yang sihat walafiat, serta kebahagiaan bersama keluarga. Selamat bersara YBhg. Dato’ Sri.




Tahniah kepada semua finisher khususnya warga PPG yang berjaya melengkapkan Larian & Briskwalk 7.7KM ini.

Baca selanjutnya...

30 Jun 2026

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Dan Jasamu Dikenang 2026 Peringkat Zon Tengah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

30 Jun 2026 (Selasa) : 

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 & Jasamu Dikenang 2026 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Peringkat Zon Tengah telah selesai diadakan bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di mana kali ini DOSM Selangor menjadi tuan rumah.

Majlis gilang gemilang ini dirasmikan oleh Dato' Sri Dr. Mohd Uzir bin Mahidin; Ketua Perangkawan Malaysia. Turut hadir ialah Puan Siti Zakiah binti Muhamad Isa; Pengarah DOSM Selangor dan Puan Hartini binti Yaacob; Pengarah DOSM Wilayah Persekutuan.

Pada majlis ini, seramai 16 orang pegawai Tetap dan 13 Personel MyStep (PMS) DOSM Selangor menerima pengiktirafan atas kecemerlangan dalam perkhidmatan. Pengiktirafan ini adalah bukti kepada komitmen, dedikasi, disiplin serta kecemerlangan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang, serta menjadi inspirasi kepada seluruh warga DOSM Selangor untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Turut diraikan pada majlis ini ialah para pesara DOSM Selangor iaitu En. Mohd Najib bin Mohd Yusof dan En. Pakhrughazi bin Mohamed. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan demi melaksanakan visi dan misi DOSM. Semoga para pesara sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan yang berpanjangan serta kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi dan semoga berjumpa lagi di lain masa dan ketika.

Seluruh warga PP Gombak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kesemua penerima  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, khususnya kepada anggota PP Gombak yang terpilih menerima anugerah tersebut iaitu En. Aidil Ariff bin Asyurisham (Pembantu Perangkaan E1), Puan Hamizah bt Ahmad (PMS) dan Cik Wafiy Aida  bt Harizam (PMS).

Montaj Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) DOSM Zon Tengah 2025














Semoga kecemerlangan mereka terus dikekalkan dan menjadi contoh teladan kepada warga PPG yang lain untuk berkhidmat lebih cemerlang seterusnya menjadi pemangkin meningkatkan prestasi ke arah kecemerlangan jabatan.


Baca selanjutnya...

17 Jun 2026

Hiking ke Air Terjun Lubuk Tupai, Batang Kali

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

17 Jun 2026 (Rabu) - 
Sempena Cuti Umum Maal Hijrah, seramai 10 orang anggota PPG telah menyertai aktiviti hiking ke Air Terjun Lubuk Tupai, Hulu Rening, Batang Kali. 

Trek ke Lubuk Tupai ini hanyalah kira-kira 4 km sehala atau kira-kira sejam setengah hingga 2 jam perjalanan sehala. Laluan pun agak santai dan ada yang perlu mendaki cerun yang tidaklah begitu curam. Memang sangat sesuai untuk semua golongan. Perlu diingatkan untuk masuk ke sini, perlu memohon permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan. 









Semoga aktiviti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dan kerjasama sesama anggota PPG. Sekali-sekala buat aktiviti sihat begini dapat juga menenangkan fikiran setelah penat otak bekerja. Tak percaya, lihatlah wajah ceria masing-masing.... 


Baca selanjutnya...

15 Jun 2026

Sesi Walkabout Ketua Perangkawan Malaysia ke PPG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Gombak, 15 Jun 2026 - Sesi Walkabout oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia telah diadakan di Pejabat Perangkaan Gombak. Lawatan ini turut diiringi oleh Puan Wan Roslida Othman, Timbalan Pengarah DOSM Selangor, Encik Barshah Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah DOSM Selangor serta Puan Jay Purani Arumugam Ketua Pejabat Perangkaan Gombak.





Semasa sesi tersebut, YBhg. Dato’ Sri Dr. turut menyampaikan amanat dan perkongsian kepada warga DOSM Gombak agar terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Beliau turut berkongsi mengenai pencapaian dan pengiktirafan yang telah diraih oleh DOSM di peringkat nasional dan antarabangsa serta menekankan kepentingan memahami data, menghayati peranan DOSM sebagai pengeluar statistik rasmi negara dan menjaga kesihatan fizikal serta mental dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.




Semoga amanat yang disampaikan oleh beliau menjadi panduan dan inspirasi kepada seluruh warga DOSM Gombak untuk terus melaksanakan tugas dengan komited dan profesional.




begitu bersemangat dan ceria warga PPG menyambut kehadiran DSKP



Ke Hulu Selangor mencari kenangan,
Singgah sebentar di daerah Gombak;
Jasamu dikenang sepanjang zaman,
Menjadi pedoman warga kelak.


Baca selanjutnya...

4 May 2026

Selamat Datang Puan Shazlina & Cik Nur Fatin Asikin

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 4 Mei 2026, Puan Shazlina binti Shaari, Penolong Akauntan W5 telah melapor diri di Pejabat Perangkaan Gombak. Beliau menggantikan Puan Azureen yang bertukar tempat dengan beliau di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak.


Pada tarikh yang sama juga, Cik Nur Fatin Asikin binti Mat Ayob, Pembantu Perangkaan E1 telah melapor diri di Pejabat Perangkaan Gombak bagi mengisi kekosongan jawatan di Unit Rangka & Prosesan. Sebelum ini beliau telah berkhidmat di Seksyen Prosesan & Analisis, Ibu Pejabat DOSM Selangor, Shah Alam sejak tahun 2022.


Seluruh warga kerja PPG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Puan Shazlina dan Cik Fatin  ke dalam keluarga PPG, semoga cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang bertugas di sini.
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.