Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

17 Jun 2026

Hiking ke Air Terjun Lubuk Tupai, Batang Kali

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

17 Jun 2026 (Rabu) - 
Sempena Cuti Umum Maal Hijrah, seramai 10 orang anggota PPG telah menyertai aktiviti hiking ke Air Terjun Lubuk Tupai, Hulu Rening, Batang Kali. 

Trek ke Lubuk Tupai ini hanyalah kira-kira 4 km sehala atau kira-kira sejam setengah hingga 2 jam perjalanan sehala. Laluan pun agak santai dan ada yang perlu mendaki cerun yang tidaklah begitu curam. Memang sangat sesuai untuk semua golongan. Perlu diingatkan untuk masuk ke sini, perlu memohon permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan. 









Semoga aktiviti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dan kerjasama sesama anggota PPG. Sekali-sekala buat aktiviti sihat begini dapat juga menenangkan fikiran setelah penat otak bekerja. Tak percaya, lihatlah wajah ceria masing-masing.... 


Baca selanjutnya...

15 Jun 2026

Sesi Walkabout Ketua Perangkawan Malaysia ke PPG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Gombak, 15 Jun 2026 - Sesi Walkabout oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia telah diadakan di Pejabat Perangkaan Gombak. Lawatan ini turut diiringi oleh Puan Wan Roslida Othman, Timbalan Pengarah DOSM Selangor, Encik Barshah Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah DOSM Selangor serta Puan Jay Purani Arumugam Ketua Pejabat Perangkaan Gombak.





Semasa sesi tersebut, YBhg. Dato’ Sri Dr. turut menyampaikan amanat dan perkongsian kepada warga DOSM Gombak agar terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Beliau turut berkongsi mengenai pencapaian dan pengiktirafan yang telah diraih oleh DOSM di peringkat nasional dan antarabangsa serta menekankan kepentingan memahami data, menghayati peranan DOSM sebagai pengeluar statistik rasmi negara dan menjaga kesihatan fizikal serta mental dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.




Semoga amanat yang disampaikan oleh beliau menjadi panduan dan inspirasi kepada seluruh warga DOSM Gombak untuk terus melaksanakan tugas dengan komited dan profesional.




begitu bersemangat dan ceria warga PPG menyambut kehadiran DSKP



Ke Hulu Selangor mencari kenangan,
Singgah sebentar di daerah Gombak;
Jasamu dikenang sepanjang zaman,
Menjadi pedoman warga kelak.


Baca selanjutnya...

4 May 2026

Selamat Datang Puan Shazlina & Cik Nur Fatin Asikin

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 4 Mei 2026, Puan Shazlina binti Shaari, Penolong Akauntan W5 telah melapor diri di Pejabat Perangkaan Gombak. Beliau menggantikan Puan Azureen yang bertukar tempat dengan beliau di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak.


Pada tarikh yang sama juga, Cik Nur Fatin Asikin binti Mat Ayob, Pembantu Perangkaan E1 telah melapor diri di Pejabat Perangkaan Gombak bagi mengisi kekosongan jawatan di Unit Rangka & Prosesan. Sebelum ini beliau telah berkhidmat di Seksyen Prosesan & Analisis, Ibu Pejabat DOSM Selangor, Shah Alam sejak tahun 2022.


Seluruh warga kerja PPG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Puan Shazlina dan Cik Fatin  ke dalam keluarga PPG, semoga cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang bertugas di sini.
Baca selanjutnya...

29 Apr 2026

Majlis Perpisahan Puan Azureen

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

29 APRIL 2026 | RABU 

Lumrah alam, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Hari ini Kelab PPG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Puan Azureen bt Mohd Sirojuddin, Penolong Akauntan W5, yang akan bertukar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak, berkuatkuasa mulai 4 Mei 2026.

Majlis diserikan dengan ucapan oleh Puan Jay Purani (Ketua PPG) serta wakil-wakil Penyelia, anggota Tetap dan PMS yang merakamkan penghargaan atas jasa bakti dan khidmat cemerlang sepanjang Pn. Azureen berkhidmat di PPG sejak tahun 2008.

Seterusnya Pn. Azureen dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota PPG yang telah memberikan kerjasama dan bantuan sepanjang beliau bertugas di PPG. Setelah kira-kira 18 tahun mencurah bakti di PPG, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. 







Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi puan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Seluruh warga PPG dengan tulus ikhlas mendoakan beliau akan terus maju jaya, dilimpahkan kebahagiaan, kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau sekeluarga di tempat yang baharu serta berjaya mencapai segala impian pada masa akan datang.

Baca selanjutnya...

21 Apr 2026

Audit Pemantauan Pensijilan ISO/IEC 27001:2022 (ISMS) Tahun 2026

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Audit pemantauan bagi pensijilan ISO/IEC 27001:2022, Information Security Management System (ISMS), telah dilaksanakan pada 20 hingga 21 April 2026 di Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor melibatkan Pejabat Shah Alam, Pejabat Perangkaan Kajang serta Pejabat Perangkaan Gombak.

Sesi penilaian ini telah dihadiri oleh Tuan Azran bin Mohammad Ridzuan dan Tuan Rahim bin Ngatman, auditor daripada SIRIM Berhad. Turut hadir bersama wakil daripada Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) dan Bahagian Perangkaan Harga, Pendapatan dan Perbelanjaan (BPHPP), Ibu Pejabat DOSM.




Tujuan utama audit:
i. Menilai keberkesanan pelaksanaan ISMS;
ii. Memastikan tahap kebolehpercayaan sistem pengurusan keselamatan maklumat;
iii. Menilai tahap pematuhan terhadap keperluan standard ISO/IEC 27001:2022; dan
iv. Mengenal pasti peluang penambahbaikan berterusan dalam sistem pengurusan yang diamalkan.

Baca selanjutnya...

19 Mar 2026

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2026

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bersempena lebaran yang bakal menjelma, kami warga Pejabat Perangkaan Gombak, DOSM Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M. 




Semoga Syawal yang mulia ini membawa kebahagiaan, ketenangan dan keberkatan di samping dapat meluangkan masa indah bersama keluarga tersayang.

Bagi yang pulang ke kampung halaman, semoga perjalanan anda selamat dan dipermudahkan. Pandulah dengan cermat dan berhati-hati di jalan raya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.