acara perasmian dan sesi penerangan oleh Pengarah DOSM Selangor
sebahagian komuniti Orang Asli yang hadir
Antara pengisian dalam program ini adalah menjalankan khidmat komuniti (CSR) seperti membaik pulih dan mengecat bangunan surau serta membersihkan kawasan persekitaran surau, mengadakan pertandingan mewarna dan acara sukaneka untuk kanak-kanak, pemeriksaan saringan kesihatan melalui program KOSPEN serta mengagihkan sumbangan pakaian dan buku-buku terpakai.
Hari Statistik Negara 2018
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2017 bersetuju supaya Hari Statistik Negara disambut pada 20 Oktober setiap tahun. Ini membuktikan bahawa Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan ahli statistik di Malaysia. Hari Statistik Negara turut diperluaskan kepada segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pembekal dan pengguna statistik seperti agensi Kerajaan dan swasta; institusi pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tertiari; komuniti perniagaan, individu serta para penyelidik. Ini kerana statistik adalah “keperluan” setiap individu dan ianya sangat penting sebagai pandu arah menentukan kesejahteraan rakyat, bertepatan dengan tema sambutan Hari Statistik Negara iaitu “Data Berkualiti. Kehidupan Sejahtera” atau “Better Data. Better Lives”.
En. Muhammad Amri menyatakan bahawa survei atau kajian yang dipertanggungjawabkan untuk dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah penting kepada kerajaan persekutuan mahupun negeri. Data-data ini membantu agensi-agensi kerajaan, swasta, ahli perniagaan, persatuan penduduk untuk membuat perancangan. Bagi kerajaan persekutuan dan negeri, maklumat yang diperolehi membantu dalam membentuk dasar seterusnya membuat pelan tindakan yang sewajarnya.
Justeru itu, beliau mengambil kesempatan menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama penuh serta sokongan padu kepada Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM dalam melaksanakan kerja-kerja survei rutin jabatan atau penyenaraian tempat kediaman semasa kehadiran anggota jabatan ke premis kediaman masing-masing.
Aktiviti Persediaan Banci Penduduk dan Perumahan ini masih berterusan, bermula pada tahun 2017 sehingga 2019 bagi memperolehi data penduduk setempat iaitu nama, bilangan ahli isi rumah, pekerjaan serta julat pendapatan isi rumah. Matlamat pelaksanaan persediaan banci ini adalah untuk mendapatkan data yang komprehensif dan berkualiti supaya pihak jabatan dapat merancang kerja bagi penyempurnaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang bakal dilaksanakan pada tahun 2020.
Selamat Menyambut Hari Statistik Negara...
Data Berkualiti, Kehidupan Sejahtera!!!
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan data dan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia sila layari
www.dosm.gov.my.