Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

31 Aug 2018

Selamat Bersara En. Arifin

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada  hari ini, 30 Ogos 2018 (Khamis) merupakan hari terakhir En. Arifin bin Amin, Pembantu Perangkaan E22 mencurah bakti berkhidmat di POG  atas sebab bersara pilihan pada usia 58 tahun.



antara kenangan di POG

cenderahati kenang-kenangan

 Ucapan dari Pengerusi KSKS dan pegawai yang diraikan...

 anggota POG tekun mendengar perkongsian pengalaman dari En. Ipin

 sumbangan dari KSKS disampaikan oleh En. Suhaidi

 mengetip punch card buat kali terakhir sebagai penjawat awam


Ketua POG, En. Frankie anak Albert Antau turut mengucapkan terima kasih kepada En. Arifin di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan selama ini.

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan En. Arifin sentiasa sihat dan berbahagia menikmati alam persaraan serta dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau bersama keluarga.

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Berikut adalah email Salam Perpisahan dari beliau kepada seluruh warga DOSM :

YBhg. Dato’ Sri Dr. Ketua Perangkawan Malaysia;

YBrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi);

YBrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal);

Pengarah-Pengarah Kanan Bahagian;
Pengarah-Pengarah Bahagian;
Pengarah-Pengarah Negeri;
Presiden dan semua ahli Kepp-Stats;
Tuan-tuan/Puan-puan yang dihormati.
 YBhg. Dato’ Sri Dr/Datin/Tuan/Puan seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia yang saya kasihi.

Alhamdulillah dan syukur kehadrat Illahi di atas berkat rahmat serta ketentuannya sukacita dimaklumkan, saya  Arifin Bin Amin, Pembantu Perangkaan JP Negeri Selangor, Jabatan Perangkaan Malaysia  akan bersara pilihan pada 01 September 2018 setelah berkhidmat dengan Jabatan Perangkaan Malaysia selama  443 bulan ( 36 tahun 11 bulan 14 hari).

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pengurusan Jabatan, Bahagian dan Negeri atas segala bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang telah diberikan kepada saya sepanjang saya berkhidmat di Jabatan ini.  Saya gembira  berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia dan saya hargai segala pengalaman dan peluang serta pengiktirafan yang diberikan.  Segala pengalaman dan ilmu yang berharga tidak akan  saya sia-siakan dan jasa baik serta penghargaan yang diberikan akan saya kenang buat selama-lamanya.

Saya secara peribadi dengan rendah diri menyusun sepuluh jari memohon ribuan kemaafan atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang perkhidmatan saya di DOSM, terutama di JP Negeri Selangor amnya dan di  Pejabat Operasi Gombak (POG) khasnya dari segi kelakuan, tingkah laku,  juga pertuturan.  Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin antara kita akan kekal berpanjangan.

Harapan saya, Jabatan akan terus unggul sebagai Penjana Statistik Negara dan mencapai Visinya menjadi sebuah organisasi yang terbilang di dunia menjelang tahun 2020.  Saya doakan semoga YBhg. Dato’ Sri Dr dan semua warga Jabatan diberikan kesihatan yang baik juga kekuatan dalam memacu dan mengharungi cabaran yang mendatang terutamanya Banci Penduduk & Perumahan 2020.

Apa yang baik datangnya dari Allah SWT dan segala kekurangan dan kelemahan itu adalah dari diri kita sendiri.

Di penghujung bicara saya mengucapkan selamat menyambut hari kebangsaan yang ke 61 di bawah kepimpinan Kerajaan baru di era Malaysia Baru.

“Sayangi  Malaysia Ku”

“Merdeka”
“Merdeka”
“Merdeka”

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

( ARIFIN BIN AMIN )
Pejabat Operasi Gombak (POG)
Jabatan Perangkaan Malaysia,
Negeri Selangor.
011-10756933

Baca selanjutnya...

14 Aug 2018

Selamat Datang Puan Siti Hajar

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Patah tumbuh hilang berganti. Setelah kehilangan Puan Che Norfairos yang bertukar ke Pejabat Operasi Kuala Krai, DOSM Negeri Kelantan, kini Pejabat Operasi Gombak menerima kehadiran anggota baru.

Pada 13 Ogos 2018 (Isnin), Puan Siti Hajar binti Tajul Arus, Pembantu Perangkaan E19 telah melapor diri untuk memulakan tugas di Pejabat Operasi Gombak.

Telah berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia selama kira-kira 10 tahun, beliau  sebelum ini bertugas di Seksyen Prosesan, Ibu Pejabat DOSM Negeri Selangor, Shah Alam.

POG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Puan Hajar, semoga beliau cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang bertugas di sini.
Baca selanjutnya...

13 Aug 2018

Hiking ke Air Terjun Sungai Chiling

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 12 Ogos 2018 (Ahad), beberapa anggota POG berkesempatan menyertai aktiviti hiking di Air Terjun Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu yang juga merupakan kawasan Santuari Ikan Kelah Sg. Chiling.  Air terjun dan santuari ini dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari-hari lain ditutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.

Dari pintu masuk kena berjalan sedikit lebih kurang 200 meter hingga jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Santuari ini dijaga dan diuruskan oleh Jabatan Perikanan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang. Kena isytihar dan bayar deposit juga untuk bekalan air botol dan bungkusan makanan yang dibawa masuk untuk memastikan sampah dibawa keluar.

10.00 pagi, kami memulakan perjalanan ke air terjun menyusuri laluan yang agak landai, memakan masa kira-kira 45 minit dan perlu melintasi anak sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. 






Di sepanjang sungai banyak ikan kelah dan tengas berkejar-kejaran dan mengerumuni kita kalau  ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran. Dilarang sama sekali menangkap ikan di sini dengan apa cara sekalipun, sama ada memancing, menjala, menyauk, menuba mahupun jika ilmu anda hebat dan mampu menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Hukumannya agak berat iaitu boleh didenda sehingga RM 10,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdapat tiga tingkat air terjun di sini. Tingkat paling bawah paling ramai pengunjung, tingkat kedua sangat curam dan tiada laluan, manakala untuk ke air terjun tingkat ketiga perlu mendaki melalui laluan yang agak curam di tepi air terjun serta agak berbahaya.

Sayang sekali kerana ramai anggota lain yang ingin turut serta tetapi tidak berkesempatan kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Tak apa, lain kali kita buat lagi, harapnya lebih ramai dapat menyertai.

Baca selanjutnya...

5 Aug 2018

Selamat Pengantin Baru, Aiman

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

4 Ogos 2018 (Sabtu) - Warga POG berkesempatan hadir memeriahkan majlis perkahwinan anggota POG, Muhammad Aiman b. Mohd Arshad dan pasangannya, Mazni yang dilangsungkan di Dewan Komuniti Batu Muda, Gombak.





Sumbangan dari KPOG disampaikan oleh Ketua POG, En. Frankie

KPOG dan seluruh warga POG mengucapkan selamat melayari bahtera perkahwinan kepada Aiman dan isteri, semoga kekal berbahagia hingga ke syurga dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Aamin Ya Rabbal 'Aalamiin.


Baca selanjutnya...

12 Jul 2018

Majlis Sambutan Aidilfitri POG 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

11 Julai 2018 bersamaan 27 Syawal 1439H (Rabu) - Kelab POG dengan kerjasama Kelab Sukan, Kebajikan & Sosial DOSM Selangor (KSKS) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri POG yang telah diadakan bertempat di Bilik Latihan Seri Selayang, Aras 2, Pejabat Operasi Gombak.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah DOSM Selangor, En. Muhammad Amri bin Idris, Ketua Penolong Pengarah, En. Mohd Suhaidi bin Abdul Rais, para pegawai,  AJK KSKS serta anggota-anggota dari Ibu Pejabat DOSM Selangor, Shah Alam dan Pejabat Operasi Kajang.

Turut dijemput menyerikan majlis adalah mantan anggota yang telah bersara dan bertukar. Terima kasih kepada Puan Norazlinda, En. Haidzir Kidam dan En. Ahmad Rahimi atas kesudian mereka hadir memeriahkan majlis ini.

Antara acara yang diadakan adalah penyampaian sumbangan kebajikan dan kelahiran, anugerah kecemerlangan kepada anggota tetap dan PSH di POG bagi separuh tahun 2018 serta penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal di POG.

Acara kemuncak sambutan bertemakan 'Indahnya Beraya di Desa' kali ini pastilah acara santapan pelbagai menu juadah istimewa antaranya; nasi minyak dengan pelbagai lauk pauk seperti kari kambing, ayam masak merah, daging dendeng, rendang, lemang, nasi himpit, sate, laksa serta pelbagai hidangan pencuci mulut yang sungguh menyelerakan.

Saksikan gambar-gambar keceriaan dan kemeriahan majlis tersebut:




 ucapan alu-aluan Tuan Pengarah dan Ketua POG...


 penerima sumbangan kebajikan dan kelahiran...

penerima anugerah kecemerlangan

 penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar praktikal






bila pulak DOSM ada stesen tv sendiri???

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota POG dan tetamu yang menjayakan dan memeriahkan majlis ini. Semoga semangat kerjasama dan ukhuwah antara sesama anggota DOSM Selangor khususnya di POG bertambah erat dan jitu.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI WARGA POG.


Baca selanjutnya...

Majlis Persaraan En. Haidzir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 11 Julai 2018 (Rabu), POG telah mengadakan majlis persaraan untuk menzahirkan penghargaan kepada En. Haidzir bin Kidam atau lebih mesra disapa Wak Dir yang telah menamatkan perkhidmatan atas sebab bersara wajib pada usia 60 tahun.

Sesungguhnya seluruh warga POG amat merasai kehilangan seorang kakitangan yang sentiasa ceria, berdedikasi lagi berpengalaman luas seperti beliau. 


Wakdir di zaman muda-muda dulu....

Majlis Persaraan yang diadakan bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri POG ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah DOSM Selangor, En. Muhammad Amri b. Idris; Ketua Penolong Pengarah, En. Mohd Suhaidi bin Abdul Rais serta beberapa orang pegawai dan anggota  Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam dan Pejabat Operasi Kajang.

Ketua POG, En. Frankie anak Albert Antau dalam ucapan beliau, mengucapkan terima kasih kepada En. Haidzir di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan selama ini.

Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas oleh pegawai yang diraikan. Beliau mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama dan tunjuk ajar para pegawai dan rakan-rakan sepanjang  lebih 30 tahun berkhidmat di Jabatan Perangkaan.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tayangan video yang mengisahkan tentang memori En.Haidzir sepanjang bertugas di DOSM Selangor. Akhir sekali, Kelab POG berbesar hati memberikan sumbangan cenderahati kenang-kenangan kepada beliau. 



menerima cenderahati kenang-kenangan yang disampaikan oleh En. Amri

bersama otai-otai POG


Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan En. Haidzir sentiasa sihat dan berbahagia menikmati alam persaraan serta dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau bersama keluarga.

Berikut adalah email Salam Perpisahan dari beliau kepada seluruh warga DOSM :

Assalamualaikum wrb, Salam Sejahtera, Salam 1 Statistik

YBhg. Dato’ Sri Dr. Ketua Perangkawan Malaysia
YBrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi)
Ybrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial/Demografi)
Pengarah Kanan Bahagian
Pengarah Kanan
Pengarah Negeri
Tuan/Puan,

Alhamdulillah dengan ketentuan dan izinNya saya Haidzir Bin Kidam, Pembantu Perangkaan Gred 22 (KUP) di Pejabat Operasi Gombak, DOSM Selangor akan bersara wajib pada 12 Jun 2018 setelah berkhidmat selama 37 tahun. Hari ini 12 April 2018 merupakan hari terakhir saya bertugas di DOSM dan esok saya akan mula bercuti rehat sebelum bersara.

Pada kesempatan ini, saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf zahir batin diatas tingkah laku, terkasar bahasa, tutur kata yang kurang menyenangkan sepanjang persahabatan kita. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana memperolehi banyak pengalaman, kenangan, tunjuk ajar dari pegawai-pegawai dan sahabat-sahabat sepanjang saya berkhidmat di DOSM. Saya juga memohon dihalalkan makan dan minum serta ilmu yang diperolehi dari tuan/puan. Semoga silaturrahim dan ukhwah yang terjalin ini akan terus berkekalan. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan kekurangan itu adalah kelemahan saya sendiri.

Saya juga mendoakan YBhg. Dato’ Sri Dr./ Tuan/Puan dan seluruh warga DOSM serta keluarga akan sentiasa di bawah lindunganNya, semoga DOSM akan terus mencapai prestasi yang cemerlang dan unggul sebagai Penjana Statistik Negara yang terbilang di persada dunia.

Periuk kera di pohon berangan,
Lembah rata udang di paya,
Apabila bersara dilupa jangan,
Ada acara undanglah saya.

Sekian, terima kasih.

HAIDZIR BIN KIDAM
Pejabat Operasi Gombak
Jabatan Perangkaan Malaysia
Negeri Selangor.
No.Tel : 017-6985881



Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.