Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

19 Jun 2014

Mendaki Gunung Kinabalu: Misi Berjaya!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

GUNUNG Kinabalu, setinggi 4095 meter (13,435 kaki) dari paras laut, merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan kelima tertinggi di Asia Tenggara. 


Tiga orang anggota POG iaitu Ali, Shahrul dan Rozan berkesempatan menyertai ekspedisi mendaki gunung tersebut, yang turut disertai oleh 17 orang pendaki lain. Setelah mengharungi pendakian yang benar-benar menguji mental dan fizikal, akhirnya mereka berjaya mengibarkan bendera Jabatan di puncak Gunung Kinabalu pada jam 5.40 pagi, 15 Jun 2014 (Ahad).




Beberapa hari/minggu sebelum itu...


1 Mei 2014 - Para pendaki Misi Kinabalu menjalani latihan mendaki Bukit Broga (berketinggian 400 meter dari paras laut) dan Gunung Tok Wan (684 meter) di Semenyih sebagai persiapan menguatkan otot kaki dan mental. Pendakian tersebut turut disertai oleh pendaki sokongan iaitu sdra. Rohaizad dan Faliq.



24 Mei 2014 - Satu lagi latihan dijalankan dengan mendaki Gunung Datuk (884 meter) di Rembau, Negeri Sembilan. 


Dalam satu majlis pelepasan ringkas, Ketua POG menyerahkan bendera untuk dikibarkan di puncak Gunung Kinabalu. Sayang sekali Sdra Wan Faizal (dua dari kiri) yang sepatutnya turut sama mendaki tidak dapat menyertai di saat-saat akhir kerana masalah kesihatan ahli keluarga terdekat.


Akhir kata, tahniah kepada ketiga-tiga pendaki. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan moral dalam menjayakan misi ini.

Baca selanjutnya...

13 Jun 2014

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2013

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


PUTRAJAYA, 12 Jun 2014 - Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). 

Sebanyak tiga jenis bentuk penghargaan disampaikan iaitu Sijil Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Penghargaan JPM dan Sijil Anugerah Khas JPM. 


Dari 58 Jabatan dan Agensi di bawah JPM, seramai 1,747 orang warga JPM merupakan penerima APC pada tahun 2013. 

Anugerah telah disampaikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada sesi pagi dan Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Zabidi bin Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) pada sesi petang. Giliran penerima anugerah bagi Jabatan Perangkaan telah ditetapkan pada sesi petang. 

Y.Bhg. Tan Sri KSN berkata, APC merupakan platform menguji komitmen dan menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti agar mencapai kualiti yang tinggi dan menepati kehendak pelanggan atau rakyat. 

Beliau juga mengingatkan semua ketua jabatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya tidak menganjurkan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) secara berasingan selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri berkenaan belanja berhemah dalam Sektor Awam. Sebaliknya, mereka dinasihatkan untuk melaksanakan hanya satu majlis APC di peringkat JPM.


Di kesempatan ini seluruh warga P.O Gombak merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2013 bagi JP Selangor, khususnya kepada dua anggota P.O Gombak yang menerima anugerah tersebut iaitu En. Ali bin Ahmad dan Pn. Che Norfairos bt Che Omar.


Semoga kejayaan dan kecemerlangan yang ditunjukkan dapat menjadi contoh teladan kepada warga POG yang lain seterusnya menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan jabatan.

Baca selanjutnya...

30 May 2014

Majlis Ceramah Sempena Israk Mikraj

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

30.05.2014 (Jumaat) - Jawatankuasa Penerapan Nilai-Nilai Murni, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor (POG) telah mengadakan Majlis Ceramah Sempena Peristiwa Israk Mikraj bertempat di Bilik Taklimat Sri Selayang, POG. 

Majlis yang dihadiri oleh kakitangan Tetap dan PSH itu dimulakan dengan bacaan surah Yaasiin yang dipimpin oleh Sdra. Khairul Azree bin Abdul Azis (PSH).

Seterusnya ceramah disampaikan oleh Ustaz Halim Din, seorang pendakwah bebas yang juga mantan Ketua Unit Dakwah, Lembaga Zakat Selangor dan kini merupakan Pengarah Bahagian Dakwah, Professional Islamic Support And Nurture Group (Pisang), sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di Bicester, England bagi misi dakwah di Eropah.
 
Ustaz Halim Din
Di samping menyampaikan ceramah berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj serta kaitannya dengan amalan hidup kita, beliau turut  berkongsi pengalaman mengenai misi dakwah di Eropah bersama NGO tersebut.


En.Azeman begitu khusyuk mendengar ceramah tanpa mempedulikan alam sekeliling

Pada akhir ceramah, Ustaz Halim sempat memperkenalkan Minyak Wangi Raihanah Syifa' yang telah dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran serta disyifa' dan didoakan khas oleh Ustaz Ismail Kamus.



Produk tersebut mendapat sambutan yang amat memberangsangkan di kalangan anggota POG, sebagai salah satu ikhtiar sesuai dengan keperluan masing-masing. Yang penting jaga iktikad bahawa bukanlah minyak itu yang berkuasa menyembuhkan sesuatu sebaliknya segala yang berlaku adalah dengan keizinan Allah s.w.t. jua.



Baca selanjutnya...

27 May 2014

Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana Yang Berada Di Gred Lantikan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Peluang dan peningkatan kerjaya penjawat awam terbuka luas apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 8/2013 Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana Yang Berada Di Gred Lantikan.

Sebelum ini, pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based bagi pegawai Kumpulan Pelaksana yang telah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan semasa secara Khas Untuk Penyandang (KUP). Melalui pekeliling baru ini, tempoh kenaikan pangkat secara KUP telah dipendekkan daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Penambahbaikan ini juga mengambil kira penilaian kecemerlangan.

Kenaikan pangkat time-based berasaskan kecemerlangan bertujuan untuk menyediakan peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai yang mencapai prestasi yang baik di samping menunjukkan sikap dan komitmen kerja yang positif. Dengan ini, pegawai berpeluang untuk meningkat dalam kerjaya melalui kaedah kenaikan pangkat tanpa terikat kepada keperluan kekosongan jawatan.

Sehubungan itu, Pejabat Operasi Gombak merakamkan ucapan tahniah kepada dua orang anggota POG yang telah memenuhi syarat kenaikan pangkat secara time based berasaskan kecemerlangan, iaitu:

Azeman b. Shaari
Ali b. Ahmad
Semoga kenaikan pangkat ini akan menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk berkhidmat lebih cemerlang di masa akan datang.

P/S: Gambar ihsan dari Ketua POG, En. Frankie.


Baca selanjutnya...

28 Apr 2014

Hari Keluarga POG di Resort Restu Ibu

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

26 April 2014 (Sabtu) - Kelab POG telah menganjurkan Hari Keluarga POG bertempat di Resort Restu Ibu, Kg. Hulu Kalong, Hulu Selangor. Majoriti anggota POG dapat menghadirkan diri bersama keluarga masing-masing. Beberapa bekas anggota POG turut dijemput namun hanya Puan Linda dan Puan Fiza yang berkelapangan masa untuk hadir memeriahkan majlis.

Kemeriahan pada hari tersebut sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, maka lebih baik kita saksikan gambar-gambar untuk menceritakan segalanya.

persiapan

tulang belakang POG dan mantan  E27

sukaneka

bbq ayam, sosej & kambing

antara anggota bersama keluarga yang hadir

mandi-manda

anak-anak generasi pelapis

penyampaian hadiah sukaneka & cabutan bertuah

macam-macam ragam

keluarga besar POG

Setinggi penghargaan kepada barisan AJK serta semua anggota yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan menjayakan hari keluarga ini. Diharapkan dengan penganjuran hari keluarga ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama anggota serta dapat lebih mengenali ahli keluarga masing-masing.

Baca selanjutnya...

10 Apr 2014

Sambutan Hari Lahir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

4/4/2014 (Jumaat), satu sambutan hari lahir telah diadakan khusus untuk ahli-ahli KPOG yang menyambut hari lahir pada bulan-bulan suku ke-4 2013 dan suku pertama 2014.

Walaupun sambutannya agak terlewat bagi beberapa ahli yang menyambut hari lahir pada suku ke-4 2013 disebabkan kekangan tugas, sesungguhnya KPOG amat menghargai ahli-ahlinya dengan menganjurkan sambutan sebegini.

antara ahli yang diraikan...
terima kasih kepada En. Frankie yang sudi menyampaikan cenderahati
birthday boboy & birthday gegirl
senyum-senyum juga... jangan sampai air liur menitik atas kek sudahlah ye...

* Gambar-gambar kelihatan agak kelabu asap kerana diambil menggunakan kamera hp cap ayam.
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.