Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

2 Feb 2013

Majlis Persaraan En. Razak

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 1 Februari 2013 (Jumaat), buat julung kalinya POG mengadakan majlis persaraan untuk anggotanya. POG amat merasai kehilangan seorang kakitangan yang berdedikasi lagi berpengalaman apabila En. Abd. Razak b. Yusoff bakal menamatkan perkhidmatan atas sebab bersara wajib pada umur 58 tahun.

Satu majlis perpisahan telah diadakan bagi menzahirkan penghargaan kepada En. Razak sepanjang berkhidmat di Jabatan Perangkaan dan di POG khususnya. Majlis diserikan dengan kehadiran Pengarah JP Selangor, Tn. Hj. Ibrahim b. Jantan yang sudi meluangkan masa ke majlis ini.

Pengerusi Majlis (Tetap)  En. Faizal Noorsham memulakan majlis dengan bacaan doa oleh En. Wan Faizal dan ucapan aluan daripada Ketua POG, En. Mohd Rosli b. Mahmood. Di akhir ucapan beliau, En. Rosli mengucapkan terima kasih kepada En. Razak di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan selama ini .


hensemnya.... evolusi En. Razak dari dulu hingga kini
Seterusnya ucapan oleh pegawai yang diraikan, En. Razak yang sudi berkongsi pelbagai pengalaman pahit manis dan suka duka sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat di Jabatan Perangkaan, sambil menyelitkan kata-kata nasihat untuk pegawai dan anggota yang masih berkhidmat.

motto yang menjadi pegangan beliau

Majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh Tn. Hj. Ibrahim b. Jantan. Beliau berharap En. Razak sentiasa sihat dan berbahagia sepanjang menikmati alam persaraan. Pihak jabatan dan K-POG berbesar hati memberikan sumbangan cenderamata kenang-kenangan kepada beliau. 



 Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan tayangan video yang disediakan oleh En. Mohd Fadzly mengisahkan tentang biografi dan memori En. Razak.

Selain itu, turut diadakan penyerahan sumbangan kelahiran cahaya mata dan hari lahir kepada beberapa anggota oleh Tn. Hj. Ibrahim Jantan. Majlis diakhiri dengan acara memotong kek persaraan dan hari lahir serta jamuan makan.


penerima hadiah hari lahir
penerima sumbangan kelahiran

P/S: 4 Februari 2013(Isnin) adalah hari terakhir En. Razak bertugas sebelum bercuti (menghabiskan cuti rehat sebenarnya) dan kemudiannya menikmati alam persaraan.

Baca selanjutnya...

1 Feb 2013

Nur Khaleda Amni selamat dilahirkan


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Kelab POG mengucapkan tahniah kepada Azeman dan isteri kerana menerima kehadiran ahli keluarga baru.

Setelah dikurniakan dua orang puteri yang comel-comel belaka, cahaya mata mereka yang ketiga yang juga seorang puteri telah selamat dilahirkan pada 31 Januari 2013, jam 5.35 petang.

Bayi seberat  3.28 kg yang dilahirkan di Hospital Selayang diberi nama Nur Khaleda Amni.

Seluruh warga POG mendoakan semoga puteri-puteri mereka bakal menjadi anak yang soleh dan solehah... aamiinn. Insya Allah.


tembamnya dia... 



Baca selanjutnya...

20 Jan 2013

Selamat Pengantin Baru... Zureen

19 Januari 2013 (Sabtu) - Seorang anggota P.O Gombak, Azureen bt. Mohamad Sirojuddin telah membuat keputusan muktamad untuk menamatkan zaman anak daranya dengan pasangannya, Mohamad Faisal b. Mohamed Hawari.

Majlis perkahwinan tersebut diadakan di Taman Melawati, serentak dengan adik lelaki beliau, Md Azwan Shah b. Mohamad Sirojuddin dan pasangannya.

Walaupun hari hujan, ramai juga kawan-kawan dari POG yang berkesempatan hadir memeriahkan majlis tersebut. Hujan rahmat tu terutamanya bagi pengantin.

tak sempat nak ambil gambar,
hanya ada gambar lama masa tengah hangat bercinta
di kejohanan bowling POG tahun lepas
(abaikan pakcik baju kuning kat belakang tu... )

KPOG mengucapkan selamat melayari bahtera perkahwinan kepada Zureen dan suami, semoga kekal berbahagia hingga ke akhir hayat... membawa ke syurga... dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Aamin Ya Rabbal 'Aalamiin


.
Baca selanjutnya...

3 Jan 2013

Amanat Tahun Baru 2013 dari Ketua POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat tahun baru 2013. Marilah sama-sama kita hayati Amanat Tahun Baru dari Ketua POG, En. Mohd Rosli bin Mahmood, semoga dapat diambil iktibar.




Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, beberapa hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2012, tahun yang penuh suka dan duka kepada kita. Tahun yang banyak mengajar kita tentang tanggungjawab seorang Hamba Allah s.w.t, tanggungjawab seorang Muslim, tanggungjawab seorang penjawat awam dan tanggungjawab seorang rakan sekerja.

Tahniah dan terima kasih kepada tuan/puan semua kerana dengan usaha dan daya dari tuan/puan, kita dapat mengharungi segala rintangan dalam memastikan P.O. Gombak terus cemerlang dan seiring dengan pejabat lain. Sekurang-kurangnya dalam merealisasikan hasrat Jabatan, P.O.Gombak turut memainkan peranan.

Dalam memastikan kejayaan dan kecemerlangan ini terus dicapai, kecemerlangan berterusan dari tuan/puan amat bermakna. Sudah menjadi lumrah alam, dalam mencapai kejayaan, ada yang perlu kerja kuat, komitmen tinggi dan usaha berterusan. Tidak dinafikan juga ada dikalangan kita yang terkebelakang sedikit, kurang komitmen dan kurang usaha.

Sekiranya ada sifat sedemikian (kalangan terkebelakang, kurang komitmen dan kurang usaha), ayuhlah kita berubah, jadikan Tahun 2013 sebagai permulaan. Biarlah kita menjadi sebahagian dari warga P.O.Gombak yang bersama-sama meningkatkan kecemerlangan P.O.Gombak. Tinggalkan perkara-perkara yang tidak baik. Ayuhlah...

Diharapkan Tahun 2013 menjadi tahun:

1. Yang meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah

2. Yang menginsafkan diri kita sebagai seorang Muslim

3. Yang meningkatkan daya usaha kita agar menjadi penjawat awam yang berkualiti

4. Yang merubah kita menjadi semakin 'bernilai'

5. Yang mengubah kita menjadi rakan sekerja yang sama-sama berusaha meningkatkan kecemerlangan Jabatan

6. Yang memastikan sumber rezeki kita halal dan diberkati

7. Yang menjadikan kita lebih bertanggungjawab dalam membekalkan data/maklumat yang berkualiti dan bertepatan masa kepada pembangunan negara

8. Yang penting, kita sama-sama memastikan P.O.Gombak terus mantap dan cemerlang

 

Terima kasih kepada Penolong saya Pn. Norazlinda kerana banyak membantu saya dalam menguruskan organisasi ini. Sumbangan yang cemerlang dari Pn. Norazlinda telah memastikan kecemerlangan dapat dikekalkan.

Terima kasih juga kepada penyelia-penyelia saya, En. Rahimi dan En. Arifin kerana membantu memastikan kecemerlangan P.O.Gombak.

Terima kasih kepada semua anggota, FE dan juga kawalan serta pentadbiran.

Tahun 2013, saya masih bersama tuan/puan.

Jumpa lagi... Sekian, terima kasih.


Baca selanjutnya...

11 Dec 2012

Majlis Perasmian pejabat baru Pejabat Operasi Gombak

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

10 DISEMBER 2012

9.00 - 9.30 pagi     :  Ketibaan para jemputan.

         9.30 pagi     :  Ketibaan Ketua Perangkawan, Y.Bhg. Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hasan.

9.30 - 10.00 pagi   :  Minum pagi.

10.00 - 10.05 pagi  :  Pengerusi majlis, En. Muhamad Faizal bin Noorsham memulakan acara.
                              Bacaan doa oleh En. Abdul Rahim bin Shaharuddin.

10.05 - 10.10 pagi  :  Ucapan alu-aluan oleh Pengarah JP Selangor, Tn. Hj. Ibrahim bin Jantan.

10.10 - 10.20 pagi  :  Ucapan Perasmian oleh Ketua Perangkawan, Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hasan.

10.20 - 10.30 pagi  :  Persembahan Multimedia, disediakan oleh En. Mohd Fadzly bin Mohd Noor.
                              Mengandungi ucapan Ketua Pejabat Operasi Gombak, En. Mohd Rosli bin Mahmood,
                              serta pengenalan struktur organisasi dan operasi POG.

10.30 - 11.00 pagi  :  Ketua Perangkawan melawat sekitar pejabat baru sambil beramah mesra dengan
                              semua anggota POG.

11.00 - 1.00 t/hari  :  Makan tengahari, diikuti sesi bergambar dengan Ketua Perangkawan.
                               Ketua Perangkawan berangkat pulang.


acara bermula

sebahagian tetamu dan tuan rumah

ucapan perasmian dan sessi dialog


lawatan dan beramah mesra

selamat dirasmikan

jamu selera

bergambar kenangan dengan anggota POG

berangkat pulang



Emel penghargaan dari Ketua POG kepada semua anggota POG yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan menjayakan majlis perasmian ini : 


Assalamualaikum
Tuan/puan, 
Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Terima kasih tidak terhingga kepada anda semua.
Kerjasama yang utuh dan usaha yang berterusan dikalangan tuan/puan memberikan kesan positif pada majlis kita pagi ini. Harapan saya, kita sentiasa teruskan bekerjasama. Ini kerana setiap kerja jika dibuat bersama-sama akan menjadi lebih baik dan sempurna. 
Sekian, terima kasih.

    
Baca selanjutnya...

29 Nov 2012

Tahniah Wan Faizal & Isteri

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Kelab POG mengucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Faizal dan isteri kerana menerima kehadiran ahli keluarga baru.

Cahaya mata mereka yang kedua telah selamat dilahirkan pada 27 November 2012, jam 1.37 am.

Bayi perempuan seberat  2.7 kg yang dilahirkan di Putra Medical Centre, Sungai Buloh, diberi nama Wan Auni Zahra.

Setelah dikurniakan anak sulung yang merupakan seorang putera, kali ni dapat puteri pula, mencukupkan sepasang cahaya mata.

Seluruh warga POG mendoakan semoga putera puteri mereka  bakal menjadi anak yang soleh dan solehah... aamiinn. Insya Allah.

Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.