Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

31 Dec 2011

Salam Perpisahan : Kakitangan Sambilan & En. Mohd Damanhuri

Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera. 

Setiap pertemuan lumrahnya pasti akan diakhiri dengan perpisahan... tapi tak mustahil akan ada pertemuan semula... dan perpisahan semula... dan pertemuan semula... dan seterusnya...


- Pada hari  Jumaat, 30 Disember 2011, satu majlis perpisahan dan penyampaian sijil penghargaan kepada kakitangan sambilan telah diadakan di POG. Mereka yang akan tamat kontrak pada hari ini tak dinafikan banyak menyumbang kepada kejayaan operasi luar Banci Ekonomi 2010, khususnya bagi kes-kes SBU.

suasana sekitar majlis
Majlis diserikan dengan kehadiran wakil  Pengarah JP Selangor, iaitu Ketua Penolong Pengarah, Tn. Hj. Abdul Aziz bin Abdullah yang sudi menyampaikan sijil penghargaan kepada semua kakitangan sambilan. Kami di POG mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka di luar sana. 

- Selain itu, POG amat merasai pemergian Penolong Pegawai Perangkaan E27, En. Mohd Damanhuri  b. Abdul Aziz. Beliau yang belum sampai setahun bertugas di POG telah pun memohon untuk bertukar suka sama suka ke Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak. Pastinya beliau lebih gembira kerana tidak perlu lagi menderita terpaksa bertugas berjauhan dengan isteri beliau yang bertugas di Perak.

aksi En. Daman ketika berucap & sewaktu menerima cenderahati dari Penaung KPOG

En. Damanhuri akan melapor diri di ILSM Sungkai mulai 3 Jan. 2012 dan tempat beliau akan digantikan oleh Puan Norazlinda Ramli.

Kami di POG amat berterima kasih atas segala sumbangan bakti beliau terutamanya dalam menjayakan kerja-kerja Banci Ekonomi 2010 dan turut mendoakan kejayaan beliau di tempat baru. Jika ada yang merindui beliau dipersilakan memohon kursus dalaman jabatan dengan lebih kerap selepas ini... Insya Allah kita akan berjumpa lagi di ILSM.


- Tak dilupakan juga, K-POG menghulurkan sedikit sumbangan untuk meringankan bebanan ahli yang mengalami masalah kesihatan, iaitu En. Razak. Walaupun tak begitu sihat, beliau sanggup hadir ke pejabat untuk menandatangani borang opsyen pencen dan penerimaan SBPA sambil meraikan anak-anak buah beliau (kakitangan sambilan di bawah seliaan beliau). Semoga En. Razak cepat sembuh agar dapat kembali bertugas seperti biasa.


- Seperti biasa, majlis yang meriah semestinya diakhiri dengan jamuan makan... Alhamdulillah.



Baca selanjutnya...

19 Dec 2011

Taklimat PHP @ Selesa Beach Resort

Selesa Beach Resort... memang selesa!
Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera.

15-17/12/2011 (Khamis-Sabtu) - Semua anggota tetap di JP Selangor yang terlibat dalam Pungutan Harga Pengguna menghadiri Taklimat Penyalinan Buku PHP sesi 1/2012 bertempat di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Taklimat tersebut disampaikan oleh Cik Saadiah Ahmad, Timbalan Pengarah BPHPP.

Pada hari terakhir (Sabtu), Ketua Perangkawan yang baru dilantik, Dr. Hj. Abdul Rahman Hasan telah sudi hadir serta sempat memberikan amanat, berdialog dan beramah mesra dengan anggota JP Selangor.
Baca selanjutnya...

13 Dec 2011

Futsal Persahabatan POG vs POK

 Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera.

12/12/2011 (Isnin) - Hari cuti am sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor. Satu kejohanan futsal persahabatan telah diadakan antara P.O Gombak menentang P.O Kajang bertempat di gelanggang futsal Jln. Reko, Kajang. Masing-masing menghantar 2 pasukan  iaitu pasukan Kajang A (anggota tetap), Kajang B (sambilan), Gombak A (tetap) dan Gombak B (sambilan).

Perlawanan dijalankan secara liga sepusingan di mana berkesudahan dengan Kajang B menjadi juara diikuti Gombak B sebagai naib juara. Pasukan Gombak A di kedudukan ketiga manakala Kajang A menghuni kedudukan terakhir lagi tercorot (ehh agak kasar bunyinya tapi itulah hakikatnya ...kui3). Takpelah tahun depan mungkin kita boleh bertarung lagi di Gombak pula.

Maaf tiada gambar!
Baca selanjutnya...

4 Dec 2011

Hari Keluarga JP Selangor @ Wet World Shah Alam

Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera.

klik gambar untuk besarkan
3/12/2011 (Sabtu) - Kelab Sukan, Kebajikan & Sosial JP Selangor (KSKS) telah menganjurkan Hari Keluarga JP Selangor bertempat di Taman Tema Air Wet World, Shah Alam. POG hanya berkesempatan menghantar 2 wakil yang ada kelapangan masa iaitu En. Rosli & En. Azeman bersama keluarga masing-masing.

Suasana kelihatan meriah dengan pelbagai aktiviti & permainan yang diadakan. Kalau kena pada masanya mungkin lebih ramai dapat menyertainya.


 
 

Baca selanjutnya...

29 Nov 2011

Salam Maal Hijrah 1433, Jangan lupakan En. Razak

Doa Awal tahun Hijrah 

yang bermaksud...

Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal, Qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Semoga kita semua menjadi insan lebih mulia, lebih bertakwa dan berhijah menjadi lebih baik dari sebelum ini. Amin… 

Dan jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan En. Razak yang masih bercuti sakit kerana diserang stroke semasa kita berkampung di Kalumpang Resort baru-baru ini. 

Ramai yang sudah mula merindui beliau di pejabat, terutamanya cetusan lawak-lawak 'makan dalam' beliau itu.

Jika ada kelapangan, silalah menziarahi beliau di rumah. 
Semoga En. Razak cepat sembuh.
Baca selanjutnya...

19 Nov 2011

Ceramah Motivasi dan Perjumpaan Bersama Pengarah

Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera.

Satu perjumpaan bersama Pengarah telah diadakan pada hari Jumaat, 18 November 2011 di Pejabat Operasi Gombak. Sempena kedatangan beliau, satu sessi ceramah motivasi telah diadakan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Psikologi HQ Putrajaya, Pn. Sharifah Sakinaz Nur Azah bt. Syed Mohamed Fadzillah. Memang molek sangat pagi Jumaat yang indah ini diisi dengan majlis ilmu sebegini.

Intipati penting dalam ceramah tersebut adalah:

- Pentingnya komunikasi yang berkesan agar apa yang kita mahu ucapkan atau sampaikan dapat difahami dan ditafsirkan dengan tepat oleh orang lain. Antara tip komunikasi berkesan yang diberikan penceramah adalah berfikir sebelum berkata-kata dan menggunakan bahasa yang bersesuaian. Komunikasi yang berkesan dalam sesebuah organisasi pula akan memastikan kelancaran dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan salah faham. Penceramah juga menyelitkan beberapa aktiviti komunikasi berkesan melibatkan audien yang dipenuhi gelak ketawa, membuatkan suasana tidak membosankan. Memang berkesan ceramah beliau.

- Pentingnya kemampuan mengawal emosi agar tidak mencetus masalah atau konflik yang boleh menyusahkan diri sendiri mahupun orang lain. Untuk mengawal emosi, bertindaklah secara positif, berfikir secara positif, fikir sebelum buat dan bertenang setiap masa. Jangan biarkan diri anda dikawal emosi, sepatutnya andalah yang mengawal emosi! Jika anda ada masalah untuk mengawal emosi, mungkin anda boleh menghubungi puan penceramah selepas ini untuk sessi luahan perasaan... :)

Selesai saja ceramah,  acara disambung pula dengan sessi perjumpaan bersama Pengarah JP Selangor, Tn. Hj. Ibrahim b. Jantan, khususnya bagi membentangkan laporan kemajuan Banci Ekonomi (B.E) 2011. Sebelum itu Ketua P.O Gombak, En. Rosli b. Mahmood telah membentangkan laporan kemajuan operasi B.E di peringkat POG.

Sebelum majlis berakhir, Tuan Hj. Ibrahim Jantan sempat menyampaikan tazkirah berkisar tentang Husnul Khatimah, bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik, begitu juga sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Sama-sama kita renungkan dan sama-sama kita berdoa agar kita kembali menemui-Nya dalam keadaan husnul khatimah, minta dijauhkan dari keadaan su' ul khatimah. Na'uzubillahi min zalik.

Majlis disudahi dengan kesudahan yang baik juga iaitu acara makan beradab nasi ayam goreng berempah yang lazat itu.

Sekian, wartawan K-POG melaporkan.
Maaf kali ini tiada gambar sempat diambil.
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.