Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Perangkaan Gombak ini diwujudkan sebagai medium perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di PP Gombak. _________________________________________________________________________________________

29 Nov 2011

Salam Maal Hijrah 1433, Jangan lupakan En. Razak

Doa Awal tahun Hijrah 

yang bermaksud...

Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal, Qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Semoga kita semua menjadi insan lebih mulia, lebih bertakwa dan berhijah menjadi lebih baik dari sebelum ini. Amin… 

Dan jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan En. Razak yang masih bercuti sakit kerana diserang stroke semasa kita berkampung di Kalumpang Resort baru-baru ini. 

Ramai yang sudah mula merindui beliau di pejabat, terutamanya cetusan lawak-lawak 'makan dalam' beliau itu.

Jika ada kelapangan, silalah menziarahi beliau di rumah. 
Semoga En. Razak cepat sembuh.
Baca selanjutnya...

19 Nov 2011

Ceramah Motivasi dan Perjumpaan Bersama Pengarah

Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera.

Satu perjumpaan bersama Pengarah telah diadakan pada hari Jumaat, 18 November 2011 di Pejabat Operasi Gombak. Sempena kedatangan beliau, satu sessi ceramah motivasi telah diadakan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Psikologi HQ Putrajaya, Pn. Sharifah Sakinaz Nur Azah bt. Syed Mohamed Fadzillah. Memang molek sangat pagi Jumaat yang indah ini diisi dengan majlis ilmu sebegini.

Intipati penting dalam ceramah tersebut adalah:

- Pentingnya komunikasi yang berkesan agar apa yang kita mahu ucapkan atau sampaikan dapat difahami dan ditafsirkan dengan tepat oleh orang lain. Antara tip komunikasi berkesan yang diberikan penceramah adalah berfikir sebelum berkata-kata dan menggunakan bahasa yang bersesuaian. Komunikasi yang berkesan dalam sesebuah organisasi pula akan memastikan kelancaran dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan salah faham. Penceramah juga menyelitkan beberapa aktiviti komunikasi berkesan melibatkan audien yang dipenuhi gelak ketawa, membuatkan suasana tidak membosankan. Memang berkesan ceramah beliau.

- Pentingnya kemampuan mengawal emosi agar tidak mencetus masalah atau konflik yang boleh menyusahkan diri sendiri mahupun orang lain. Untuk mengawal emosi, bertindaklah secara positif, berfikir secara positif, fikir sebelum buat dan bertenang setiap masa. Jangan biarkan diri anda dikawal emosi, sepatutnya andalah yang mengawal emosi! Jika anda ada masalah untuk mengawal emosi, mungkin anda boleh menghubungi puan penceramah selepas ini untuk sessi luahan perasaan... :)

Selesai saja ceramah,  acara disambung pula dengan sessi perjumpaan bersama Pengarah JP Selangor, Tn. Hj. Ibrahim b. Jantan, khususnya bagi membentangkan laporan kemajuan Banci Ekonomi (B.E) 2011. Sebelum itu Ketua P.O Gombak, En. Rosli b. Mahmood telah membentangkan laporan kemajuan operasi B.E di peringkat POG.

Sebelum majlis berakhir, Tuan Hj. Ibrahim Jantan sempat menyampaikan tazkirah berkisar tentang Husnul Khatimah, bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik, begitu juga sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Sama-sama kita renungkan dan sama-sama kita berdoa agar kita kembali menemui-Nya dalam keadaan husnul khatimah, minta dijauhkan dari keadaan su' ul khatimah. Na'uzubillahi min zalik.

Majlis disudahi dengan kesudahan yang baik juga iaitu acara makan beradab nasi ayam goreng berempah yang lazat itu.

Sekian, wartawan K-POG melaporkan.
Maaf kali ini tiada gambar sempat diambil.
Baca selanjutnya...

12 Nov 2011

Majlis Bacaan Yaasiin & Ceramah Penerapan Nilai-Nilai Murni

Kepada Semua Anggota beragama Islam,

Assalamu’alaikum w.b.t,

Tuan/Puan,

Sukacita dimaklumkan bahawa Jawatan Kuasa Penerapan Nilai-Nilai Murni, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor telah mengadakan majlis bacaan surah Yaasiin dan ceramah penerapan nilai-nilai murni seperti berikut :-

Penceramah   :           Y/bhg. Ust. Ghazali Akhbar bin Arshad
                                   Imam Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang.
                                   
Tempat           :           Bilik Taklimat, Tingkat 3, Pejabat Operasi Gombak.

Masa              :           9.00 – 11.00 pagi.

Tarikh            :           11/11/11 (Jumaat)

2. Sehubungan dengan itu pihak kami memohon jasa baik tuan/puan agar mengambil iktibar dari apa yang disampaikan oleh tuan penceramah dan menghebahkan maklumat ini kepada semua muslimin/muslimat lain yang tidak dapat hadir.

3. Antara intipati ceramah adalah pentingnya amalan solat yang merupakan tiang agama. Solat yang dikerjakan dengan sempurna akan mampu mencegah seseorang dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Malah amalan yang mula-mula sekali dihisab di akhirat kelak adalah amalan solat. Maka solatlah sebelum anda disolatkan.

4. Ditekankan juga betapa pentingnya menjaga kesihatan fizikal (dengan mengamalkan senaman dan menjaga pemakanan); menjaga kesihatan akal (dengan banyak membaca buku-buku ilmiah dan keagamaan, bermuzakarah dan menghadiri majlis-majlis ilmu); membersihkan hati (dengan mengamalkan zikir, solat tahajjud, dsb); serta mengawal dan mengekang hawa nafsu.

5. Kerjasama dan perhatian pihak tuan/puan amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih.


Sekian.

Terima Kasih.

P/S: Entri kali ini diubahsuai dari surat makluman tentang ceramah penerapan nilai-nilai murni oleh Jawatan Kuasa Penerapan Nilai-Nilai Murni, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor yang dihantar kepada semua anggota.


INGAT LIMA PERKARA, RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAAALLL!
Baca selanjutnya...

17 Oct 2011

Berkampung di Kalumpang Resort



- Sekitar program kerja luar & pengisian borang Banci Ekonomi 2011 (P.O.G) di daerah Hulu Selangor.
- Disertai oleh semua kakitangan yang terlibat dengan operasi luar Banci Ekonomi (Tetap & Sambilan)
- letak gambar je sebab admin malas nak menulis...sibuk edit borang!
Baca selanjutnya...

15 Oct 2011

Selamat Jalan & Selamat Datang

Selamat Jalan

walaupun agak sedih, Pojie memaksa dirinya untuk tersenyum
- Satu majlis perpisahan telah diadakan bagi meraikan Fauzi Muhammad yang juga merupakan AJK Sukan K-POG. Beliau yg kini telah mendapat taraf kerakyatan Kg Sg. Tekali, Hulu Langat sejak berkahwin pada Jun lalu, memohon untuk bertukar suka sama suka ke HQ Putrajaya dan mula melapor diri pada 17 Okt. 2011.

 K-POG mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan dan komitmen beliau selama berkhidmat di POG dan selamat maju jaya kepada beliau di tempat baru.

 Selamat Datang

ini bukti aksi Kecik di padang (gambar ihsan FB Stats FC)
- Patah tumbuh hilang berganti. Pengganti Fauzi iaitu Mohd Shahrul Johari a.k.a Kecik mula melapor diri pada 17 Oktober 2011.

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, beliau merupakan bintang penyerang pasukan bolasepak Statistik FC, Putrajaya.

Mungkin dengan pembelian pemain baru ini akan menguatkan lagi pasukan bolasepak P.O Gombak. Ehh...bila masa pulak POG ada team bola ni???

K-POG mengucapkan selamat datang kepada beliau ke POG, diharap pembelian ini berbaloi-baloi. Secara automatik juga beliau menjadi ahli K-POG. Err...jangan lupa bayar yuran!


tahniah...dah dapat sepasang...
- Selamat datang juga kepada Ahmad Khalish Dhani bin Mohd Khairi yang telah selamat dilahirkan ke dunia oleh ibunya 'Ainun Saádah.

Bayi comel seberat 3.24 kg ini dilahirkan di Hospital Selayang pada malam 13 Oktober 2011...

Alhamdulillah semuanya selamat dan tahniah kepada Áinun dan suami. Semoga Ahmad Khalish Dhani menjadi anak yang soleh.... aamiin!
Baca selanjutnya...

8 Oct 2011

Majlis Bacaan Yaasiin & Tazkirah

Seperti biasa, pada hari Jumaat pertama setiap bulan  majlis bacaan Yaasiin akan diadakan di Pejabat Operasi Gombak. Namun kali ini agak istimewa kerana diserikan dengan penampilan khas Ustaz Ali Omar, Imam 1, Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, Rawang.



Beliau memimpin bacaan Yaasiin seterusnya menyampaikan tazkirah berkisar tentang penerapan nilai-nilai murni dalam hidup kita. Antara intipati tazkirah beliau :

1. Pentingnya menjaga solat. 

Dalam zaman ini ramai manusia yang melalaikan serta meninggalkan solat sedangkan amalan yang mula-mula sekali dihisab di akhirat nanti adalah amalan solat. Malah solat jika dikerjakan dengan sempurna juga akan mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.


2. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah. 
Mensyukuri nikmat Allah adalah wajib. Tidak mensyukuri nikmat Allah adalah berdosa apatah lagi mengkufurinya. Bersyukur dengan nikmat Allah bukan sekadar megucapkan 'Alhamdulillah' tetapi lebih daripada itu iaitu dijelmakan dalam bentuk amal perbuatan dan percakapan dengan menggunakan nikmat itu untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.


3. Sentiasa bertaubat
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : 
“Setiap anak Adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah ).
Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :
"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Akhir sekali Ustaz Ali Omar mengajak hadirin mengalunkan doa taubat dan menghayatinya beramai-ramai, yang bermaksud :

"Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga-Mu, tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa neraka-Mu, dari itu kurniakanlah keampunan kepadaku, ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar....".

RENUNG-RENUNGKAAANN...DAN SELAMAT BERAMAAALLL!


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.