5 Mei 2025 (Isnin) - Malaysia telah mencatatkan pencapaian yang amat membanggakan apabila diumumkan sebagai negara yang menduduki tempat pertama di peringkat global dalam penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch (ODW) pada 29 April 2025.
Malaysia telah mengatasi 198 buah negara lain dalam penilaian yang menumpukan aspek keterbukaan dan liputan data statistik rasmi, diikuti oleh Singapura, Finland, Denmark dan Poland. Pencapaian ini menunjukkan lonjakan ketara berbanding kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.
Sehubungan itu, satu Majlis bersempena Meraikan Kejayaan Malaysia Menduduki Tempat Pertama Dunia dalam Penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 telah diadakan di Ruang Legar Galeri Blok C7, Ibu Pejabat DOSM Putrajaya, disempurnakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Seluruh warga DOSM Gombak turut mengikuti siaran langsung majlis tersebut. Kami turut berbangga dan meraikan kejayaan negara menduduki tempat pertama dunia dalam Penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024/25!
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia di atas kejayaan bermakna ini.





